Kategori Berita Utama

Rohingya masih tagih simpati dunia

26 NOV: Malaysia mengambil pendekatan menyalurkan kemudahan penjagaan kesihatan bagi pelarian Rohingya apabila membangunkan sebuah hospital bernilai RM3 juta di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata keprihatinan itu timbul selepas menyedari kem pelarian di Kutupalon dan Balukhali mengalami kekurangan asas sekaligus menyumbang kepada penyakit berjangkit dalam keadaan kawasannya yang tidak kondusif.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee dan ahli parlimen Malaysia mendengar penerangan berkenaan pembinaan Hospital Medan Malaysia oleh Ketua Penasihat Teknikal Hospital, Kol Dr Mohd Arshil Moideen.

“Kerajaan Malaysia begitu komited memperjuangkan kaum pelarian Rohingya yang diusir daripada kampung halaman dan kini mereka terpaksa menjadi pelarian dengan keadaan serba kekurangan.

“Soal kesihatan penting kepada mereka lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang begitu ramai.  Dengan adanya kemudahan hospital ini kelak ia tentu memberi manfaat kepada kesihatan mereka.,”  katanya kepada BNBBC.my portal.

Terdahulu, seramai 12 orang Ahli Parlimen BN, PKR dan PAS tiba sejak Jumaat lalu untuk meninjau nasib pelarian Rohingya serta melawat tapak hospital Medan Malaysia berdekatan ke pelarian Kuthupalong.

Lawatan itu turut diiringi beberapa pegawai daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri,  Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan NADMA.

Apabila siap, hospital itu mempunyai  50 katil dan akan dilengkapi peralatan perubatan terkini untuk pelarian yang memerlukan rawatan.

Pembinaan hospital itu dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan akan dirasmikan oleh  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari tahun hadapan.

Terdahulu Aziz melancarkan musolla yang terletak dalam kem pelarian Balukhali.

Premis berkenaan adalah hasil sumbangan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dijangka menempatkan 300 orang jemaah dalam satu masa.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 November 2017 11:56 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: