Kategori Berita Utama

Rombakan PAS Selangor, tiada rundingan kerusi dengan PKR

10 MEI: PAS Selangor menegaskan bahawa mereka tidak akan melakukan sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan PKR sekiranya Majlis Syura Ulama membuat keputusan yang selari dengan ketetapan yang dibuat pada muktamar parti baru-baru ini.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhy berkata, jika ketetapan itu diambil mereka kekal dengan pendirian bertanding sehingga 45 kerusi DUN di Selangor berbanding hanya 20 kerusi ketika pilihanraya sebelum ini.

“Jika Majlis Syura Ulama putus bahawa hubungan dengan PKR putus, tiada keperluan untuk kita berunding dengan PKR, kita akan bertanding ditempat yang telah kita sasarkan,” katanya pada Selasa.

Sallehen yang juga ADUN Sabak, turut menolak tanggapan bahawa pentadbiran negeri itu berada dalam keadaan tidak menentu.

“Pentadbiran negeri tetap berjalan seperti biasa dan tanggungjawab bersama itu wujud, sebelum ini pun PAS sudah tidak ada hubungan dengan DAP tetapi pentadbiran negeri tetap baik,” kata ADUN Sabak itu.

Sebelum itu, Sallehen mengumumkan rombakan barisan negeri apabila dua daripada tiga Timbalan Pesuruhjayanya diisi dengan muka baharu.

Rombakan itu adalah susulan beliau dilantik sebagai pesuruhjaya negeri menggantikan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Antara muka baharu adalah Yang Dipertua PAS Sepang, Ir. Mohd Haslin Hassan dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya ll menggantikan Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd Shafie Ngah, manakala Yang Dipertua Tanjung Karang, Mohd Zamri Zainuldin menggantikan Ahmad Dusuki Abd Rani sebagai Timbalan Pesuruhjaya lll

Bagaimanapun, EXCO negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dikekalkan selaku Timbalan Pesuruhjaya l.

Selain itu, ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang sebelum ini memegang jawatan setiausaha digantikan dengan Abdul Halim Omar.

Sementara itu, Sallehen menafikan rombakan itu berkaitan jawatankuasa sebelum ini gagal berfungsi dengan baik.

“Ini pasukan untuk kita hadapi pilihan raya umum dan beberapa rombakan ini dibuat bagi memperkukuhkan Pas Selangor dan seterusnya memastikan kita memenangi pilihan raya,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 May 2017 11:08 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: