Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rumah Selangorku diselar tidak salur subsidi kepada pembeli

9 OGOS: Projek perumahan rumah mampu milik Kerajaan Selangor ditemplak kerana dilihat gagal memberikan subsidi kepada pembeli berbanding rumah yang disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar menyelar, Kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana gagal memberi sebarang subsidi kepada projek perumahan Rumah Selangorku di negeri tersebut.

“Kita tengok dasar Kerajaan Selangor, dia tak keluar duit pun, dia hanya arahkan pemaju buat rumah Selangorku, pemaju dipaksa buat, jadi apa kesannya?

“Itu yang pemaju seolah-olah cross line subsidi, rumah Selangorku terpaksa dijual dengan harga, katakan rumah itu bernilai RM300,000… maka pemaju terpaksa jual lebih kerana nak dapatkan subsidi tersebut kerana kerajaan negeri tak keluarkan subsidi,” selar Noh.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PAN Shah Alam Khalid Abdul Samad, di Sidang Dewan Rakyat, pada Rabu.

Khalid bertanya adakah Kerajaan Persekutuan mempunyai kaedah menentukan harga rumah mampu milik yang dibina lebih rendah dari harga rumah di pasaran terbuka.

Akibatnya, menurut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kerajaan Selangor gagal menyediakan rumah Selangorku lebih murah daripada rumah yang dibina di pasaran terbuka.

“Berbeza dengan rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Persekutuan, sebagai contoh rumah yang dibina KPKT, mana ada dalam dunia ini, rumah harga pasaran RM150,000 atau RM200,000 diberi subsidi sehingga 75 peratus?

“Begitu juga rumah yang dibina oleh SPNB, Prima atau KWP. Kita akan pastikan harga rumah lebih rendah daripada harga pasaran terbuka,” kata Noh.

Malah jelas Noh lagi, Kerajaan Persekutuan membantu lagi rakyat yang tidak mampu atau tidak layak mendapat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan melalui skim Rent to Own (RTO).

“Kita beri lagi kemudahan kepada rakyat yang gagal mendapat pinjaman bank melalui RTO.

“Mereka boleh masuk ke rumah itu tanpa sebarang deposit, dengan skim RTO yang kerajaan perkenalkan,” jelas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu.

Noh juga menjelaskan, harga rumah di pasaran terbuka adalah ditentukan oleh kerajaan negeri.

“Setelah itu, kerajaan negeri akan dihantar kepada kementerian untuk dapatkan APDL,” katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan asal Khalid, Noh menjelaskan, sejak 2013 Kerajaan Persekutuan BN telah menetapkan sasaran pembinaan satu juta rumah mampu milik di seluruh negara.

“Bagaimanapun pada tahun 2016, Kerajaan telah menambah sasaran kepada 1.1 Juta dengan harga siling maksimum RM300,000.

“Langkah ini dilaksanakan oleh beberapa agensi Kerajaan Persekutuan seperti PR1MA, SPNB, PPA1M, KPKT dan agensi-agensi kerajaan negeri dan pihak swasta.

“Langkah ini dijangka akan dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli untuk mencari rumah yang bersesuaian dengan tahap kemampuan masing-masing,” jelas Noh.

Share This:




Berita Bertarikh pada 9 August 2017 12:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]