Kategori Berita Utama

RUU Berita Palsu: Kerajaan ambil input dari pihak berkepentingan

13 MAC: Satu sesi perbincangan di antara kerajaan bersama wakil-wakil penyedia platform media sosial iaitu Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube, dan Twitter telah diadakan di Parlimen baru-baru ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, pertemuan ini diadakan sebagai salah satu langkah untuk mendapat lebih banyak pandangan dan input daripada pemain-pemain utama bidang media baru dalam usaha kerajaan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) mengenai berita palsu.

“Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada para penyedia platform media sosial. Turut sama dalam pertemuan ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Pertemuan ini penting bagi memastikan RUU yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek. Tindakan ini juga sebagai bukti yang Kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Azalina, asas utama RUU yang sedang dirangka ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

RUU ini juga katanya bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa kepada berita palsu.

“Saya percaya RUU ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 March 2018 11:30 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: