Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sahabat YADIM mampu kekang penularan ateis

25 NOV: Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dilihat boleh memainkan peranan membantu mengekang penularan kumpulan ateis yang kini semakin berleluasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebagai organisasi dakwah yang unik dan berorientasikan Islam dinamik, Sahabat YADIM boleh membantu melahirkan umat dan masyarakat terutama generasi muda yang menguasai pemikiran tasawur Islam yang jelas dan benar berpaksikan akidah yang jitu.

“Sekarang ini isu paling utama, kita hendak jadikan kefahaman Islam berasaskan manhaj (jalan) berorientasikan Malaysia. Keunikan Malaysia berbilang kaum dan agama adalah unik dan kita harus raikan kemajmukan ini.

“Islam Malaysia tidak jumud, tidak radikal dan tidak ekstrim. Ia bersifat wasatiyyah dan asasnya adalah al-Quran. Ia tidak merelakan atau tidak akan sekali-kali memberi ruang kepada sebarang bentuk pelampau dalam agama, sama ada bersifat radikal atau liberal.

“Jadi asas ini yang harus dibina oleh YADIM sebagai satu organisasi dakwah dan lebih 8,000 keahlian merangkumi mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, kita dapat mendepani sesuatu isu berteraskan ilmu dan fakta Islam yang benar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM 2017 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMT, Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali dan Yang Di-Pertua YADIM, Dr Yusri Mohamad.

Lebih 1,000 mahasiswa yang juga Sahabat YADIM dari 28 IPT awam dan swasta seluruh negara menyertai konvensyen itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 November 2017 10:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: