Kategori Berita Utama

Saingan BN Johor bukan pembangkang tapi Singapura

14 APRIL: Barisan Nasional (BN) Johor meletakkan negara jiran Singapura sebagai penanda aras dalam melancarkan manifestonya hari ini.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, BN negeri itu tidak akan sesekali membiarkan negeri yang terkenal dengan jolokan ‘Harimau Selatan’ itu sekadar menjadi ‘laman belakang’ kepada Singapura.

“Kita tidak akan biarkan Johor sekadar menjadi halaman belakang kepada sesiapa pun, apatah lagi sekadar menjadi pemerhati Singapura.

“Jadi, dalam perkara ini, Johor yang jolokannya adalah ‘harimau selatan’, akan mula menunjukkan taring dan belangnya dan misi spesifik ini saya gelarkan sebagai, ‘Mengejar Singa’,” katanya, ketika berucap melancarkan manifesto BN Johor untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini

Khaled berkata, saingan BN untuk Johor bukanlah parti pembangkang sebaliknya kemajuan yang ingin dikecapi adalah mengejar Singapura.

“Kita sudah tidak mahu lagi bertarung dengan mereka yang asyik bertukar wajah dan logo. Mereka yang mengejar kerusi dan mereka yang menjadikan PRU sebagai medan untuk menjatuhkan orang lain.

“Malah, kali ini kita dapat lihat, roket pun sudah tidak terbang lagi. Bunga yang konon menguntum, kini sudah menguncup. Yang ada hanyalah bulan terbelah.

“Jadi, saranan saya, jika mereka mahu ke bulan, silakan,” katanya sambil disahut sorakan daripada ahli BN yang hadir.

Beliau sehubungan itu menyeru agar rakyat Johor bersama-sama untuk merealisasikan impian Dekad Baharu Johor.

“Tetapi, di pihak BN Johor, kami hanya ingin mengajak seluruh Team Johor. Marilah kita semua bermuafakat dan memfokuskan usaha, tenaga dan masa depan kita untuk menjayakan Dekad Baharu Johor.

“Kita mesti berusaha keras menjadikan Johor sebagai negeri terbaik. Agar, dalam tempoh lima hingga 10 tahun dari sekarang, berita kejayaan kita akan kedengaran ke seluruh negara. Malah turut menyeberang ke Selat Tebrau.

“Sehingga semua orang sedar dan tahu, bahawa Harimau Selatan ini sebenarnya mampu mengaum sama kuat dan berlari sama kencang dengan Si Singa Merah,” katanya lagi.

“Biar penghuni kota Singa, malah seluruh masyarakat Malaysia tahu, selaku Harimau Selatan, tandingan kita adalah Singa. Bukannya bulan dan bunga,” tambah Khaled.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 April 2018 2:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: