Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Saiz penjawat awam tidak dikecilkan

4 MAC: Kerajaan tidak akan mengecilkan bilangan kakitangan di sektor awam, manakala tawaran pekerjaan baharu akan diteruskan mengikut keperluan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata ia bagi menampung kekurangan hampir 38,000 penjawat awam yang bersara setiap tahun.

“Kita sebaliknya membuka pengambilan penjawat awam baharu dari semasa ke semasa setiap tahun bagi mengisi kekosongan.

“Peluang sentiasa ada dalam sektor perkhidmatan awam dan mana-mana individu yang mempunyai kelayakan boleh mengemukakan permohonan bagi setiap kekosongan.

“Justeru, tidak timbul isu penjawatan bagi kakitangan awam dibekukan mahu pun kerajaan berhenti mengambil pengambilan kakitangan baharu,” katanya di Balik Pulau hari ini.

Terdahulu, Zainal Rahim (foto) turut merasmikan Seminar Transformasi Rakyat (STAR) Kem 2018 peringkat Parlimen Balik Pulau di Politeknik Balik Pulau yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Sebelum ini, Ketua Publisiti DAP, Tony Pua menyifatkan bilangan kakitangan awam sedia ada membebankan kewangan negara dan bercadang mengurangkan jumlahnya, sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU14.

Sementara itu, mengulas isu kakitangan tidak menyokong kerajaan dengan alasan kos sara hidup yang tinggi, Zainal Rahim berkata, perkara itu tidak timbul kerana gaji penjawat awam adalah seiring dengan perubahan semasa.

“Kita juga sentiasa fikir untuk meneliti skim penggajian kakitangan awam setiap tahun, selain ia kenaikannya dicatatkan sebanyak 28 peratus dan ia sangat luar biasa, sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 March 2018 5:10 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: