Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Saksi tak muncul: Keputusan Anwar saman ‘Papagomo’ 28 Feb

28 JAN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Selasa menetapkan 28 Febuari depan sebagai tarikh keputusan saman RM100 juta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengendali blog ‘Papa Gomo’ Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Keputusan ditetapkan hakim Rosilah Yop setelah perbicaraan masuk hari kedua hari ini apabila saksi defendan tidak muncul.

Peguam tertuduh, Jasbeer Singh Kauna memaklumkan pihaknya memohon tarikh baru kepada mahkamah bagi memanggil saksi pembelaan yang sepatutnya hadir memberi keterangan di mahkamah.

Namun permohonan itu dibantah peguam Anwar dan mahkamah memutuskan kes itu ditutup.

Kes Papa Gomo Anwar

Pada Isnin, Muhammad Azri difahamkan akan membawa seorang saksi ‘misteri’ yang didakwa bakal membuktikan beliau bukan ‘Papagomo’ selain mahu mendedahkan watak sebenar Anwar hari ini.

Bagaimanapun Jasbeer sendiri tidak mengetahui dengan jelas identiti berkenaan.

Dalam prosiding perbicaraan semalam pihak plaintif memanggil Anwar sendiri serta seorang penulis blog, Mohd Fauzi Mohd Azmi, 38, sebagai saksi pendakwaan.

Mohd. Fauzi mengesahkan bahawa Muhammad Azri adalah penulis blog Papagomo yang beliau kenali sejak 2009.

Saksi berkenaan mengakui pernah berhubung secara langsung dengan individu bergelar ‘Papagomo’ melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas (sms).

Kata Fauzi, beliau berjumpa Wan Muhammad Azri buat kali pertama sekitar Mei 2009 dalam satu majlis perjumpaan blogger.

Fauzi turut membawa sekeping gambar yang diambil beliau ketika pertemuan itu.

Anwar pada 21 Mac tahun lalu memfailkan saman dan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta daripada Muhammad Azri.

Selain itu Anwar turut memohon perintah mahkamah bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan dan imej fitnah berkenaan beliau.

Muhammad Azri didakwa menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog Papagomo pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013 serta mengaitkan Anwar dalam video fitnah.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 January 2014 5:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: