Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sambut hari lahir dipukul, pelajar berhadapan tindakan tegas

16 APRIL: Mana-mana pelajar yang bertindak atau berkelakuan melampaui batas sehingga mendatangkan kecederaan dalam kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan tegas.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon susulan daripada video sekumpulan pelajar yang menyambut hari lahir salah seorang rakan mereka dengan memukul pelajar itu dan tular dalam laman media sosial, Facebook.

“Perbuatan pelajar yang tular baru-baru ini bukanlah budaya kita. Tetapi, mereka ini mudah terpengaruh sehingga melampaui batas dan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kecederaan.

“Kita akan ambil tindakan kepada semua pelajar yang berkelakuan melampaui batas dan dilihat menyalahi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Dalam video selama 30 saat itu, seorang pelajar sekolah menengah merelakan dirinya dipukul oleh kira-kira lapan rakannya sebagai tanda menyambut hari lahirnya di dalam sebuah bilik darjah.

Pelajar tersebut yang akhirnya mengerang kesakitan itu ditendang dan turut dipukul dengan batang penyapu.

Mengulas lanjut, Sin Woon turut menyeru para pelajar agar tidak terpengaruh dengan perkara atau perbuatan negatif yang tular dalam laman media sosial mahupun YouTube.

“Saya juga menyeru kepada guru-guru di sekolah agar memberikan penelitian terhadap perlakuan murid-murid. Mereka juga disarankan untuk menekankan unsur-unsur budaya kita semasa perhimpunan.

“Tanggungjawab mereka bukan hanya mengajar, tetapi perlu juga lihat cara pelajar bergaul di sekolah. Disebabkan itu kita ada program rakan sebaya di mana pelajar itu sendiri menjadi mata dan telinga kepada guru-guru dalam menangani perkara sebegini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 April 2018 3:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: