Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sambutan Hari FELDA terbesar di Putrajaya

8 MEI: Sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Ekspresi Negaraku FELDA Malaysia’, akan diadakan di Putrajaya bermula 21 hingga 23 Julai depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata sambutan yang diadakan di sepanjang Dataran dan Persiaran Presint 3 adalah yang ‘terbesar’ kerana menggabungkan pelbagai agensi dan kementerian.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri meminta penganjuran tahun ini diangkat ke peringkat lebih besar iaitu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan membabitkan pelbagai kementerian dan agensi.

“Pelbagai pengisian dan aktiviti akan diadakan bermula 21 Julai ini, termasuk karnival jualan murah barangan keperluan, jualan makanan, jualan murah buah-buahan tempatan, pameran selain program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama belia FELDA,” kata Razali.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 peringkat kebangsaan, di Ibu Pejabat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Putrajaya, Isnin.

Turut hadir adalah Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Sementara itu, Razali berkata sambutan tiga hari itu akan mempamerkan pencapaian, kekuatan dan kejayaan agensi penanaman berkelompok itu bersama lebih 100,000 penerokanya sejak penubuhannya pada 1 Julai 1956.

“Kemuncaknya adalah pada 23 Julai itu, yang mana sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri dan pelbagai anugerah akan disampaikan pada hari berkenaan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 May 2017 5:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: