Kategori Berita Antarabangsa

Saudi mula bayar tunai ala BR1M

22 DIS: Arab Saudi mula membayar 2 bilion riyal (kira-kira RM2.2 bilion) semalam dalam ansuran tunai secara bulanan sistem kebajikan baharu ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Skim khas tersebut diperkenalkan oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk dinikmati keluarga berpendapatan rendah dan menengah yang terdiri kira-kira separuh daripada 33 juta penduduk negara Asia Barat tersebut.

Pembayaran itu datang menjelang pelaksanaan cukai nilai tambah sebanyak lima peratus seumpama cukai barang dan perkhidmatan (GST) di 190 buah negara ke atas kebanyakan barangan termasuk makanan dan perkhidmatan.

Bayaran khas itu juga diperkenalkan demi meringankan beban kos sara hidup jutaan rakyat marhaen berikutan langkah kerajaan Arab Saudi memotong subsidi yang akan menaikkan tarif elektrik dan petrol tahun depan.

Menteri Buruh dan Pembangunan Sosial, Ali Al-Ghafees memberitahu agensi Saudi Press Agency (SPA) bahawa pemindahan wang ihsan tersebut melalui akaun bank telah dibuat kepada kira-kira tiga juta keluarga tempatan.

Ia melibatkan sekitar 10.6 juta penerima.

Beliau berkata separuh daripada keluarga tersebut menerima bayaran maksimum sebanyak 938 riyal (RM1,020) manakala pembayaran minimum pula ialah 300 riyal (RM323).

Berita pembayaran itu datang dua hari selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembentangan belanjawan terbesar dalam sejarah negara tersebut, dengan 978 bilion riyal (RM1.03 trilion) tahun fiskal yang akan datang.

Kerajaan negara Islam yang kaya minyak berkenaan telah memperkenalkan cukai pengguna ke atas pembelian segala produk tembakau, minuman ringan dan tenaga mulai tahun ini, serta cukai untuk barangan mewah.

Kementerian Kewangan Arab Saudi berkata, pihaknya menjangka membayar kira-kira 32 bilion riyal (RM35 bilion) bayaran bantuan ansuran tunai terhadap rakyat yang layak sepanjang 2018 kelak.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 December 2017 11:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: