Kategori Berita Utama

Saya tulis buku bukan sebab kempen PRU – Pandikar

27 NOV:  Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak persepsi sesetengah pihak bahawa penulisan buku terbaharu beliau adalah sebagai persediaan buat dirinya untuk berkempen jika dipilih bertanding dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.

Menurut beliau yang juga Speaker Dewan Rakyat, kandungan buku bertajuk ‘Berpisah Tiada’ itu hanyalah salah satu usaha untuk memberi penjelasan kepada semua pihak berkenaan kedudukan Sabah dalam Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi( kiri) dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Seri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulian ketika Majlis Pelancaran Buku ‘Berpisah Tiada’ di Parlimen.

“Itu satu sebab saya terpaksa bertungkus lumus hasilkan buku menidakkan apa yang disebut selama ini oleh pihak di sebelah sana, bukan sahaja pembangkang, ada juga Sabah dan Sarawak fikir yang hak-haknya dicabuli.

“Tetapi bagi saya, kita tidak boleh memutar balik sejarah, jadi saya terpanggil memberi hujah walaupun saya dikecam kerana kaki saya di Kuala Lumpur, malahan saya berdiri sendiri bila dikecam dengan hebat, kerana pada saya Sabah dan Sarawak tidak akan kemana jika tidak menyertai gagasan Malaysia.

Pandikar berkata demikian selepas buku berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi di Parlimen, Isnin.

Ketika pelancaran, ia turut dihadiri beberapa orang menteri kanan, timbalan-timbalan menteri, ahli parlimen serta pegawai parlimen.

Tegas bekas Speaker DUN Sabah itu, beliau tidak mahu generasi akan datang salah faham atas analisa yang mereka lakukan sendiri.

Buku dengan halaman 147 itu berkisarkan penerangan isu-isu yang dikaitkan dengan aspek undang-undang yang bersangkut paut dengan Sabah dan kedudukannya dalam Malaysia.

“Semuanya ada dalam buku Berpisah Tiada,” kata Pandikar.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 November 2017 8:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: