Kategori Ekonomi

SC, Bank Dunia perluas produk pembiayaan Islam

8 MEI: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Dunia akan bekerjasama mewujudkan lebih banyak produk pembiayaan Islam berasaskan pasaran bagi membiayai projek infrastruktur.

Pengerusinya, Tan Sri Ranjit Ajit Singh, berkata kerjasama strategik kedua-dua pihak itu juga dilihat dapat menyokong pertumbuhan berterusan pasaran modal Islam negara ini.

“Bank Dunia berminat menggunakan pengalaman Malaysia dan bekerjasama dengan kami (SC) mengenal pasti penanda aras yang boleh digunakan negara lain di rantau ASEAN bagi membiayai projek infrastruktur berlandaskan Syariah.

“Kami berminat berbuat demikian memandangkan ia bukan saja membantu pembiayaan infrastruktur serantau, malah paling penting ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah peneraju global dalam terbitan sukuk dan 61 peratus sukuk infrastruktur global diterbitkan di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan SC-Bank Dunia: Kewangan Islam dan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi Pembangunan Infrastruktur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan PPP Kumpulan Bank Dunia, Laurence Carter, berkata Bank Dunia sememangnya komited menggalakkan lebih banyak projek infrastruktur di seluruh dunia dalam mencapai matlamat pembangunan yang mapan.

Justeru beliau berkata, pihaknya akan membantu melaksanakan lebih banyak pembiayaan daripada semua sumber, termasuk dari negara Islam, yang mana kewangan Islam dilihat penting untuk mencapai tujuan berkenaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 May 2017 7:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: