Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sedarlah risiko pinjam ‘Ah Long’- TPM

25 FEB: Mereka yang memilih untuk meminjam wang daripada peminjam wang haram atau along harus sedar risiko yang perlu ditanggung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun terdapat pelbagai alasan yang menyebabkan mereka terdesak berbuat demikian, namun perkara itu perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh peminjam supaya tidak terjadi ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

“Perkara ini memerlukan tindakan segera daripada peminjam itu sendiri…kita tidak mahu campur tangan dalam urusan peribadi mereka tapi dalam masa sama kita mahukan kerjasama daripada peminjam.

“Jika mereka diugut atau sebagainya, mohon maklumkan kepada polis dengan segera supaya tindakan boleh dilakukan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas tindakan sekumpulan individu dipercayai along mengunci dari luar sebelum membakar sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cheras Prima, Kajang, Selangor semalam, yang menyebabkan enam sekeluarga nyaris maut.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan PDRM bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kesiapsiagaan PDRM melibatkan aspek ketenteraman dan keselamatan ketika dan selepas pembubaran (Parlimen) serta pada hari pengundian dan selepas tamat pengundian.

“Kita yakin dengan persiapan yang dilakukan telah mengambil kira semua aspek yang diperlukan untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 February 2018 4:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: