Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sekolah sembunyi kes gangsterisme akan dikenakan tindakan tegas

30 OKT: Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan sekolah yang sengaja menyembunyikan kes gangsterisme atau buli melibatkan murid di sekolah mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan menegaskan, usaha membendung gejala negatif ini tidak akan berjaya jika ada pengurusan sekolah yang menyembunyikan gejala negatif tersebut demi menjaga imej dan reputasi sekolah berkenaan.

“Kementerian memandang serius membendung isu gangsterisme dan buli di sekolah. Pengurusan sekolah hendaklah melaporkan kepada kementerian dan juga pihak berkuasa.

“Kementerian juga memiliki prosedur sebelum hukuman keras diambil kepada murid yang terlibat dengan gejala ini seperti memberi nasihat kaunseling dan amaran sebelum hukuman buang sekolah diambil ke atas mereka.

“Setakat tahun ini, 442 orang murid telah dikenakan tindakan buang sekolah kerana terlibat dengan gejala gangsterisme dan buli di sekolah,” jelasnya.

Kamalanathan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman pada sesi pertayaan lisan, di Dewan Rakyat, Isnin.

Dr Mansor dalam soalan tambahannya meminta Kementerian Pendidikan menjelaskan langkah dan bentuk hukuman yang dikenakan kepada murid didapati terlibat dalam gejala gangsterisme dan buli di sekolah.

Selain itu Kamalanathan menjelaskan, Kementerian Pendidikan telah mengamalkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mewujudkan kerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk membanteras gejala gangsterisme dan buli berlaku di sekolah.

Katanya, Kementerian Pendidikan berhasrat mencapai peratusan sifar sekaligus menghapuskan gejala negatif itu terjadi di kalangan murid sekolah.

“Kementerian konsisten nak turunkan 0.002 peratus kes gansterisma 2017 kepada sifat peratus dan menjadikan sekolah bebas daripada gejala ini pada masa hadapan.

“Sekarang kita ada pegawai polis yang bertindak sebagai Pegawai Penasihat Sekolah (PPS) yang ditempatkan di semua sekolah di seluruh negara.

“Selain memberi khidmat nasihat kepada pengurusan sekolah membendung perkara ini, PPS juga akan turun ke sekolah bagi memantau keadaan,” katanya menjawab soalan asal Ahli Parlimen PAN Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 October 2017 12:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: