Kategori Berita Utama

Selami muafakat PBB, serapi dalam BN, kata Najib

10 FEB: Semua parti komponen BN digesa mengadaptasikan semangat permuafakatan dan penyatuan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) demi kelansungan dalam politik tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata dua elemen berkenaan adalah tonggak penting dalam memperkukuhkan persiapan semua parti komponen dalam berhadapan pilihan raya umum..

“PRU14 dijangka pilihan raya paling mencabar dalam sejarah negara. Justeru, kita memerlukan persediaan secukupnya, terutama dengan berpaksikan semangat perpaduan dalam kalangan parti komponen.

“Ini sudah lama wujud dalam PBB dan Kita boleh berkongsi sama pengalaman dengan PBB itu bagi mewujudkan suatu konsep kejituan dalam kalangan parti komponen lain,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini.

Beliau turut bersikap optimis dan yakin dengan keupayaan BN Sarawak, terutama PBB mengekalkan keputusan ‘A+’ dalam PRU14.

“Kita akan pastikan BN Sarawak dan PBB bukan sahaja memperoleh majoriti lebih besar, bahkan mandat penuh rakyat bagi membentuk kerajaan yang kuat dan utuh dalam membawa negara ke era masa depan yang lebih cemerlang.

“Sudah pasti PBB yang kini dipimpin kapten baharu, Datuk Abang Johari kekal menjadi benteng kekuatan BN secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata Kerajaan Persekutuan bersedia mengembalikan hak Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan untuk duduk semeja dengan jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan kerajaan Sarawak.

“Runding baik-baik, cari penyelesaian, semua boleh bincang. Dalam Kabinet Persekutuan ramai menteri datangnya dari Sarawak,”

Tambah Pengerusi BN itu kerajaan hari ini lebih ikhlas berhubung banyak isu, berbeza dengan keadaan suatu ketika dahulu apabila sesiapa sahaja yang menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1963 akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Walaupun tidak menyebut nama pemimpin, kenyataan Najib itu dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi ketua negara selama 22 tahun.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 February 2018 2:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: