Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Seleweng Zakat P.Pinang: SPRM tahan 1 kontraktor wanita

10 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang lagi kontraktor bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dan pecah amanah membabitkan Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, kontraktor wanita berusia 42 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, kira-kira 8 malam Selasa.

“Wanita itu kini direman 6 hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pihaknya percaya lebih ramai lagi, terutama kontraktor yang menjalankan projek dengan ZPP akan ditahan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa pihak, terutamanya pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan ZPP bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan saya percaya penahanan mereka akan dapat membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dan pecah amanah itu,” katanya.

Semalam, SPRM menahan 11 individu termasuk pegawai kanan ZPP berusia 50 tahun serta 3 pegawai agensi itu bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan bagi projek pembangunan masyarakat sejak 3 tahun lalu.

Turut ditahan 7 kontaktor berusia 41 hingga 52 tahun dan mereka semua direman seminggu sehingga 15 Mei ini.

Sementara itu, ZPP memberi jaminan tidak ada wang zakat yang disumbangkan umat Islam di negeri ini diselewengkan ekoran penahanan empat pegawai agensi itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dalam negeri, Datuk Abdul Malik Kasim berkata, penahanan pegawai ZPP oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu adalah bagi membantu siasatan yang menjurus kepada penyelewengan peribadi.

“Ahli Lembaga ZPP juga akan mengadakan mesyuarat esok bagi melihat kembali soal pentadbiran dalam agensi itu ekoran penahanan SPRM semalam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 May 2017 9:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: