Kategori Berita Utama

Selisih faham Nazri dengan Sabah, Sarawak selesai

15 JUN: Perselisihan faham membabitkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dengan kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung isu cukai pelancongan sudah selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Kabinet semalam mengarahkan supaya masalah itu diselesaikan dan tiada lagi kenyataan dikeluarkan, sama ada oleh pemimpin kerajaan pusat atau negeri.

“Saya juga sudah berjumpa Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman) dan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Abang Johari Abang Openg) semalam secara peribadi.

“Kita sudah tutup buku dan buka buku baharu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Bengkel Pembaharuan Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) di PICC hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan cukai pelancongan itu akan tetap diteruskan seperti dijadualkan bermula 1 Julai ini.

“Kita merasakan bahawa masalah promosi pelancongan ini memerlukan dana dan terdapat negeri yang mempunyai kutipan cukai yang sedikit dan ada negeri yang banyak.

“Apa pun (hasil cukai) akan diguna pakai untuk promosi produk pelancongan, bukan hanya mengikut negeri tetapi mengikut bidang atau kepentingan produk pelancongan,” katanya.

Ditanya sama ada Sarawak menarik balik keputusannya untuk keluar dari Tourism Malaysia, Ahmad Zahid menegaskan perkara itu sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa kerajaan supaya menangguh pelaksanaan cukai pelancong di Sabah dan Sarawak kerana khuatir cukai baharu itu akan membawa kesan kepada industri pelancongan.

Gesaan menteri baharu Sarawak itu diselar Mohamed Nazri yang menganggap Abdul Karim sebagai menteri ‘setahun jagung’ dan diminta tidak berlagak samseng.

Mohamed Nazri baru-baru ini memaklumkan, pelaksanaan cukai pelancongan akan tetap diteruskan bermula 1 Julai ini yang menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 satu malam untuk sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

Isu cukai pelancongan menjadi perbahasan apabila ada pihak yang meminta cukai tersebut hanya dikenakan kepada pelancong asing dan tidak melibatkan pelancong tempatan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 June 2017 11:41 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: