Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Semalam kata buktikan kemenangan, hari ini ada calon

10 MEI: Semalam cakap tunggu dulu buktikan kemenangan terlebih dahulu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang baru pilih siapa layak jadi Perdana Menteri, tapi hari ini Datuk Seri Azmin Ali kata, Pakatan Harapan (PH) sudah mengenalpasti calon yang sesuai.

Namun katanya identiti calon itu terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan umum buat masa sekarang.

“Kami memang ada (calon untuk perdana menteri) dan kami akan umumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada media selepas menghadiri Karnival Peduli Rakyat di Kota Damansara hari ini.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin diramal banyak pihak akan dicalonkan untuk jawatan itu sementara Azmin sebagai timbalannya.

“Saya pula hanya seorang pemimpin kecil untuk Selangor,” kata Azmin ketika diminta mengulas ramalan itu.

Sementara itu mengulas mengenai politik Selangor, Azmin berkata, apa yang belaku adalah sandiwara kononnya akan ada perubahan kerajaan di negeri berkenaan.

Ia ekoran ketetapan PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR melalui muktamar parti itu akhir bulan lalu.

Kata Azmin, ramai orang cemburu dan dengki kepada Selangor.

Justeru, katanya beliau menjadi sasaran serangan dalam siaran berita televisyen pada waktu perdana setiap malam.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai supaya tidak gelabah kerana situasi politik di Selangor adalah stabil dan kekal utuh.

Pada masa sama, Azmin berkata, keberkesanan kerajaan negeri menyebabkan ramai orang yang berhasrat mahu berpindah dan bekerja dengan kerajaan Selangor.

“Kalau seorang dua, bolehlah tapi sekarang ramai sangat nak pindah (bekerja) di Selangor.

“Jadi, saya jawab, jangan pindah ke Selangor, biar kita pindah ke Putrajaya. Selesai semua masalah,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 May 2017 7:34 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: