Kategori Berita Utama

Semua komponen serah senarai calon, tarikh PRU14 tidak dibincangkan

4 JAN: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung malam tadi membincangkan secara umum berkenaan persiapan BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Beliau turut memberitahu MCA telah menyerahkan senarai calon MCA untuk disaringkan.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN di PWTC. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin komponen

“Ya kita telah beri calon MCA kepada Perdana Menteri.

“Senarai calon sudah disaring tetapi Perdana Menteri berhak menyaring semua senarai itu sebelum mengumumkannya.

“Senarai pendek semua calon dari parti komponen BN telah diberi kepada Perdana Menteri, dan senarai akhir akan ditentukan oleh Perdana Menteri nanti,” katanya kepada media.

Dalam pada itu beliau menyifatkan perhimpunan MCA dan GERAKAN yang bakal diadakan Sabtu ini sebagai bukti kerjasama erat dan semangat perpaduan yang disemai dalam BN.

“Kerjasama MCA dan GERAKAN ini menunjukkan jalinan ikatan penyatuan yang kukuh dalam BN,” ujarnya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Antara yang hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup dan Pengerusi MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.

Najib sebelum itu melancarkan theRakyat sebuah portal khas BN bagi PRU14 yang mengandungi pelbagai maklumat termasuk mengenai manifesto dan calon BN.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN tidak membincangkan soal kerusi atau calon yang bertanding pada PRU-14.

Sebaliknya mesyuarat hampir dua jam itu hanya membincangkan isu persiapan dan kesiapsiagaan jentera parti komponen BN.

Beliau berkata, isu calon dan tarikh PRU kebiasaannya tidak dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Tidak…(isu calon dan kerusi) tidak dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Tiada tarikh dibincangkan. Ia hanya berkisar soal persiapan (menghadapi PRU-14)… kita ada masa lagi,” katanya kepada media yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat tersebut, malam tadi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 January 2018 12:41 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: