Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Semua parti diingatkan bersaing secara sihat elak fitnah

31 MAC: Rakyat perlu memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus mentadbir negara ini dengan memberi sokongan padu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata mandat itu akan membolehkan kerajaan BN, yang sememangnya mempunyai prestasi terbaik dalam membawa kemajuan, meneruskan kesinambungan agenda dan dasar pembangunan sekali gus memperkukuh lagi kestabilan politik serta mempertahankan keharmonian negara.

Beliau berkata nikmat pembangunan dikecapi negara sekarang dengan pelbagai peluang pendidikan, ekonomi dan pekerjaan disediakan kerajaan perlu dipertahankan demi kesejahteraan rakyat di masa depan.

“Sejak merdeka, kerajaan BN sentiasa mendahulukan rakyat. Kita (BN) tidak seperti pihak (parti) lain yang apabila pilihan raya baharu mereka timbul dengan macam-macam (janji) ditawarkan kepada rakyat. Justeru, rakyat harus membuat pilihan bijak.

“BN konsisten dari dahulu sampai sekarang. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan. Apa yang penting kita memberi sokongan padu kepada pemimpin dan parti kita agar kita boleh meneruskan agenda pembangunan negara,” katanya berucap merasmikan Mini Karnival Demi Paparku, di Papar Sabah hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga Ahli Parlimen Papar.

Dalam pada itu, Salleh berkata, setiap parti politik seharusnya bersaing dalam arena politik secara sihat tanpa perlu membuat fitnah dan menyebarkan berita palsu sehingga boleh memecahbelahkan rakyat.

“Banyak rakyat jadi mangsa fitnah dan (penyebaran) berita palsu. Justeru, rakyat perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Pada majlis itu, Salleh turut melancarkan Skuad 175 Papar seterusnya mengumumkan dana RM100,000 untuk melaksanakan kerja kebajikan dan kemasyarakatan di Papar.

Sementara itu, Rosnah, ketika berucap, berkata, Skuad 175 Papar adalah program kesukarelawan untuk warga Papar bagi menggalakkan budaya sukarelawan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata setakat ini skuad itu sedang dalam proses menarik penyertaan penduduk setempat yang berminat menyertai skuad itu sebagai sukarelawan dan melaksanakan aktiviti kesukarelawan termasuk membina rumah warga emas di Papar.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 March 2018 10:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: