Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Semua sudah sedia hanya tunggu semboyan PRU14

20 DIS: Tidak perlu menunggu lama untuk membawa roh dan semangat kemenangan ke peringkat akar umbi sebagaimana arahan dan amanat yang diberikan pucuk pimpinan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) baru-baru ini apabila Barisan Nasional (BN) Lenggong sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menantikan semboyan perang ditiupkan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk menggempur dan menghadiahkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan Program Pemukiman 3YB sebaik sahaja PAU2017 melabuhkan tirainya, 9 Disember lalu serta Pelancaran Jentera BN Lenggong oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini bukan sahaja melambangkan kesiapsiagaan sepenuhnya anggota BN malah meningkatkan perpaduan dan persefahaman antara kesemua jentera parti kompenan yang ada.

“Kita telah menjayakan apa yang dikehendaki YAB Presiden dan kepimpinan parti supaya roh PAU2017 diterjemahkan dalam tindakan yang mesti dibuat oleh kepimpinan di peringkat bahagian masing-masing.

“Selama seminggu kita telah melaksanakan pelbagai program dan Pelancaran Jentera BN Lenggong ini membuktikan bahawa kami di Lenggong kini sudah 90 peratus bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja, apabila diumum sahaja pilihan raya, kita berkeyakinan jentera kita di peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi di Parlimen ini sudah bersiap sedia.

“Saya percaya apa yang kita buat ini penting untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang serius untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka,” ujarnya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong.

Jelasnya, BN kena kurangkan apa juga masalah yang ada, ketepikan semua perbezaan dan yang penting meletakkan kepentingan parti di hadapan untuk memastikan BN menang dalam pilihan raya bukan sekadar dengan majoriti yang kecil malah mahu gandakan sokongan rakyat selain memberi gambaran bahawa rakyat di akar umbi memang percaya dan yakin dengan gandingan Najib dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di samping Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak.

“Dalam program pelancaran jentera baru-baru ini, BN telah berjaya mengeluarkan lebih 30 peratus pengundi untuk bersama dalam simulasi ini.

“Ini merupakan gambaran bahawa kita yakin walaupun dengan pelbagai tohmahan, pelbagai fitnah, dengan pelbagai gambaran buruk yang dibuat oleh pelbagai pihak kepada kerajaan, namun gambaran yang ditunjukkan oleh rakyat hari ini melalui dry run yang kita lakukan, ia membuktikan bahawa kawasan-kawasan luar bandar seperti di Lenggong tidak terkesan besar dan menolak sama sekali apa yang dibawa oleh pakatan pembangkang,” tambahnya.

Terdahulu, pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2017, Presiden UMNO dalam ucapan penangguhannya meniupkan semboyan mengerah seluruh perwakilan dan anggota parti menggempur habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan besar BN pada PRU14 untuk mempertahankan Putrajaya.

Pada perhimpunan terakhir sebelum PRU14 itu, Najib turut meninggalkan tiga bekalan berharga supaya pimpinan di peringkat Bahagian UMNO menyelesaikan sebarang masalah secara ‘musyawarah’ (berunding) dalam semangat kekeluargaan parti, menerima keputusan parti dalam menentukan calon atas semangat cintakan parti serta berjuang dan bertempur dengan penuh berani bagi mencapai kemenangan yang besar.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 December 2017 4:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: