Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Seng Giaw berkeras tidak akan berganjak dari Kepong

4 APRIL: Dr Tan Seng Giaw menegaskan beliau tidak akan berundur dari kerusi Parlimen Kepong yang dimenanginya sejak 1982 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seng Giaw 75, merupakan ahli DAP sejak 1979, berkata beliau tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya selama lapan penggal itu.

“Saya tidak akan berundur, Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat ketika berusia 75 tahun, tambahan pula Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang berusia 92 tahun masih lagi menjadi penasihat Pakatan Harapan,” kata pakar kulit itu kepada sebuah agensi portal berita.

Seng Giaw yang akan menyambut ulang tahun ke-76 pada 24 Mei ini berkata: “Ada pihak yang menyatakan usia saya sebegini sudah terlantar di hospital, patut berehat di rumah, tidak perlu lagi peduli sama hal-hal politik, cukuplah dengan lapan penggal, bersaralah, kata mereka kepada saya.

“Namun, pedulikanlah apa mereka cakap terhadap saya. Nak cakap saya tua ke, saya masih lagi kuat dan berupaya untuk membantu rakyat. Rakyat masih lagi mahu berjumpa saya untuk mendapatkan khidmat saya sebagai wakil rakyat dan mereka masih lagi percayakan saya,” katanya menepis dakwaan yang beliau antara yang akan digugurkan oleh DAP bagi memberi laluan kepada muka baru.

Pengerusi DAP Selangor selama lima tahun pada 1982 hingga 1987 itu, bagaimanapun berkata: “ Terpulanglah kepada pimpinan parti (DAP), apakah mahu pilih saya bertanding lagi atau tidak.

“Saya masih bekerja seperti biasa dan masih berminat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepong,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang mula melibatkan diri dalam politik pada usia 34 tahun dengan menyertai Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas) pada 1976.

Beliau pertama kali bertanding pada pilihan raya umum (PRU) 1978 bagi kerusi Parlimen Kepong atas tiket Pekemas, namun kalah dalam pertandingan empat penjuru.

Tan Tiong Hong daripada parti Gerakan menang pada PRU itu dengan majoriti 2,228 undi.

Seng Giaw, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang pernah berkhidmat sebagai pakar perubatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 1971 hingga 1972, berkata pada PRU ke-13 yang lepas beliau mengalami keadaan yang sama.

Kononnya nama beliau akan digugurkan daripada bertanding, tetapi akhirnya beliau tetap diberi mandat oleh partinya untuk mempertahankan kerusi parlimen Kepong.

Seng Giaw mempertahankan kerusi parlimennya dengan undi majoriti sebanyak 40,307, dengan mengalahkan dua pencabarnya, iaitu Chandrakumanan Arumugam daripada PPP dan calon bebas Yee Poh Ping.

“Kita tidak boleh mengagak apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, cumanya pada masa sekarang saya masih mampu lagi untuk meneruskan perjuangan saya di kawasan Parlimen Kepong,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 April 2018 1:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: