Kategori Berita Utama

Serah kepada pihak berkuasa siasat video klip Namewee

20 FEB: Kerajaan menyerahkan kuasa kepada pihak polis untuk menyiasat tindakan Namewee yang biadap berikutan videonya yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beliau percaya pada sikap professional badan berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada individu tersebut.

“Kita akan menyerahkan kepada polis, IGP telah mengeluarkan kenyataan semalam.

“Kita akan menyerahkan kepada pihak polis melakukan proses siasatan secara profesional,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas pelancaran NATSEC ASIA 2018 di MITEC. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pra pelancaran sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Selasa.

Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata pihaknya sedang mengesan Namewee yang didakwa mengguris perasaan dan menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ia berikutan pihak polis sebelum ini dikatakan akan melakukan siasatan secara profesional terhadap selebriti kontroversi itu berhubung klip video bertemakan Tahun Baharu Cina berjudul “Like A Dog” (Seperti Anjing).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee dipercayai kini berada di luar negara.

Namewee memuat naik video berdurasi 3:15 saat di laman Youtube menampilkan dirinya berlatar belakangkan beberapa penari berbaju hitam memakai topeng anjing.

Difahamkan, video tersebut berkisarkan tentang cara-cara anjing menyalak di setiap negara berbeza seperti Amerika Syarikat, India, Korea, Jepun dan Malaysia.

Susulan daripada itu Namewee tampil memberi penjelasan mengenai klip video terbarunya yang dikatakan menghina sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

Menurut Namewee, dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana agama atau kaum di negara ini, malah klip video tersebut dibuat berdasarkan turutan kalendar Lunar masyarakat Cina.

Namewee berkata, penggambaran klip video tersebut juga dibuat di lokasi aktiviti yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya dan bukannya di kawasan masjid seperti dakwaan sesetengah pihak sebelum ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 February 2018 2:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: