Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Serahkan kepada Najib tentukan calon BN PRU14

17 FEB: Pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) disaran menyerahkan sepenuhnya soal pemilihan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini kerana selaku Pengerusi BN, keputusan yang dibuat oleh Najib yang juga Presiden UMNO adalah muktamad.

“Soal (pemilihan) calon itu bukanlah hak kita, soal calon adalah hak muktamad Presiden UMNO atau Pengerusi BN.

“Ini bukan lagi masa kita untuk melobi menjadi calon… era itu sudah berubah. Kita kena serahkan bulat-bulat kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa calon yang akan dipertandingkan (pada PRU14).

“Yang harus kita perkuatkan adalah parti. Jadi, sesiapa sahaja dipilih pucuk pimpinan kita harus menyokong calon tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediaman Kapitan Cina Datuk Andy Chua di Kampung Tombol, Kota Belud hari ini.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi tanggungjawab semua anggota BN untuk merapatkan barisan dan memberi sokongan padu terhadap calon yang dimuktamadkan.

“Apabila (pucuk pimpinan) sudah menentukan (calon), tanggungjawab kita adalah merapatkan barisan dan memperkuat parti kita supaya kita memperoleh kejayaan selesa,” katanya.

Mengenai majlis rumah terbuka, Salleh berkata amalan kunjung-mengunjung pada hari perayaan sudah menjadi tradisi di Kota Belud , sekali gus menunjukkan perpaduan harmoni dalam kalangan pelbagai kaum dan agama di daerah itu.

Kira-kira 2,000 penduduk pelbagai kaum di daerah ini hadir memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan yang menyajikan aneka juadah selain persembahan tarian singa dan tarian naga.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 February 2018 3:51 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: