Kategori Berita Utama

Sesi pendengaran awam catat sejarah kali pertama dianjurkan SPR

27 DIS: Sesi pendengaran awam kajian semula persempadanan bahagian Pilihanraya negeri Selangor yang bermula hari ini telah mencipta sejarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana julung kalinya mengadakan sesi seumpama itu di negara ini.

Pendengaran awam yang diadakan di Hotel Blue Wave, Shah Alam itu bakal memberi peluang kepada parti politik dan orang awam membuat bantahan terhadap kawasan yang dicadangkan untuk persempadanan semula tersebut.

Walau bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan mengikuti prosiding pendegaran awam dijalankan kerana ia diadakan secara tertutup.

Sesi pagi tadi dimulakan pendengaran awam berkaitan kawasan Parlimen Ampang.

Difahamkan tujuh orang panel SPR yang diketuai Tan Sri Mohd Hashim Abdullah telah mendengar bantahan yang dikemukakan oleh Ketua Bahagian UMNO Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Menurut Ismail, beliau membantah pertukaran kawasan parlimen pusat daerah mengundi (PDM) Enggang Utara, Enggang Selatan dan Kuala Ampang.

“PDM Enggang Selatan dan Enggang Utara pada asalnya dibawah DUN Bukit Antarabangsa, Parlimen Ampang telah dimasukkan di bawah DUN Hulu Klang, Parlimen Gombak.

“Manakala Kuala Ampang yang dulunya di bawah DUN Hulu Klang dimasukkan pula ke dalam DUN Bukit Antarabangsa,” jelasnya ketika ditemui media sebaik sahaja selesai membuat bantahan pada sesi pendengaran awam SPR pagi tadi.

Beliau menegaskan, pertukaran kawasan PDM itu sepatutnya tidak timbul kerana kedudukan geografi mereka adalah selari antara satu sama lain yang bersebelahan dengan lebuhraya MRR2.

“Nampak macam tak kena dengan pertukaran itu kerana ia berada dalam jajaran yang sama, saya berharap SPR dapat mendengar bantahan dan rayuan kami ini.

“Oleh sebab itu berdasarkan kepada kedudukan dan lokasi serta kemudahan urusan pentadbiran pejabat daerah dan Majlis Perbandaran Ampang, kami meminta SPR mengembalikan kawasan PDM berkenaan seperti sebelum ini,” katanya lagi.

Sementara itu, ADUN Kota Damansara Datuk Halimaton Saadiah Bohan pula telah membuat bantahan pertukaran kawasan PDM Kem Tentera Sungai Buloh yang telah ditukar kepada DUN Paya Jaras.

“Saya telah membuat bantahan PDM Kem Sungai Buloh di DUN saya yang telah ditukarkan kepada DUN Paya Jaras di mana melibatkan seramai 1700 pengundi di PDM tersebut.

“Tidak logik perkara ini berlaku kerana ia berada di kawasan yang sama dan saya mahu ia kekal di dalam DUN saya,” katanya.

Dalam pada itu Halimatun menolak tohmahan dan dakwaan yang mengatakan SPR berat sebelah dan cenderung menyebelahi Barisan Nasional (BN) dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya di Selangor.

“Perkara itu tidak betul, kalau saya wakil rakyat daripada BN pun kehilangan 1,700 pengundi, di manakah kebenarannya tohmahan tersebut?

“Jadi jangan nak membuat tuduhan melulu dan sepatutnya kita meletakkan kepercayaan kepada SPR kerana badan ini telah pun membuktikan dan berpengalaman dalam menguruskan pilihanraya di negara kita.

“Saya berharap dengan ketelusan dan kewibawaan SPR, bantahan saya ini diterima sekaligus mengekalkan PDM tersebut di DUN Kota Damansara,” jelasnya.

Setakat tengahari tadi, kelibat para pemimpin Pakatan Harapan dan PAS langsung tidak kelihatan.

Prosiding pendengaran awam ini dijangka selesai pada 8 Januari tahun hadapan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 December 2017 2:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: