Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Shabery nyatakan sokongan harap Ahmad kekal ADUN Kijal

13 APRIL: Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menyatakan sokongan terbuka supaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said disenaraikan untuk bertanding bagi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan depan.

Ahmad Shabery berkata, Ahmad banyak menabur jasa kepada Terengganu dan langkah meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu sebagai calon boleh membuka peluang besar untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan.

“Kita tak rela melihat kerusi Parlimen Kemaman dan DUN Kijal jatuh ke tangan pembangkang, justeru saya berharap Datuk Seri Ahmad Said dikekalkan untuk mempertahankan kerusi DUN Kijal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional DUN Kijal di Pantai Teluk Kalong, hari ini.

Ahmad Shabery turut menyatakan kekaguman terhadap perjuangan Ahmad terhadap Terengganu dan daerah ini.

“Tiada sebab untuk rakyat Kemaman menolak BN. Dengan kerja keras pemimpin BN di daerah ini, kita dapat saksikan projek Hospital Kemaman yang kerja tanah rancak dilaksanakan dan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah baharu selain rumah kakitangan awam.

“Semua kita buat untuk kebajikan rakyat dan saya berharap rakyat Kemaman terus memberi sokongan kepada BN untuk mentadbir,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman pada PRU14, Ahmad Shabery berkata, keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya tak tahu dan tak pernah ambil tahu. Pucuk pimpinan parti lebih arif untuk membuat keputusan terbaik bukan saja untuk kebaikan parti malah negara.

“Tersenarai atau tidak (bertanding) bukan masalah dan saya reda dengan apa saja keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 April 2018 11:46 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: