Kategori Berita Utama

Shafie bakal hilang sokongan dari 3 juta ahli RELA

24 JAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad menafikan dakwaan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Katanya kenyataan itu adalah tidak benar serta tidak bertanggungjawab kerana menghina keupayaan anggota RELA di Sabah yang ditugaskan untuk membantu pihak penguatkuasa di kawasan ESSZone.

“Tentang peruntukan itu ia sama sekali tidak benar kerana RM6 juta itu telah diumumkan sebelum ini oleh Ketua Menteri Sabah pada tahun lepas dan tahun itu juga telah diagihkan sebanyak RM3 juta.

“Maka selebihnya lagi RM3 juta akan disalurkan kepada anggota RELA,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Rabu.

Tambah Nur Jazlan lagi, peruntukan tersebut telah diumumkan pada 11 Februari 2017 iaitu pada hari RELA ke-45 di Kota Kinabalu, Sabah.

Kesan daripada kenyataan tersebut, Nur Jazlan turut berkata bahawa Shafie tidak akan mendapat sokongan daripada 3 juta ahli RELA kerana tersinggung dengan kenyataan beliau itu.

“Shafie tidak akan mendapat sokongan daripada 3 juta ahli RELA kerana tersinggung dengan kenyataan beliau.

“Jadi cukuplah mereka yang hukum, tak payah nak hukum lebih lagi, yang penting dia nampaknya tidak mementingkan hati rakyat, tidak bersimpati dengan pengorbanan anggota RELA yang membuat kerja mereka secara sukarela,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nur Jazlan turut berkata bahawa anggota RELA yang ditempatkan di kawasan ESSZone tidak diletakkan di kawasan yang merbahaya dan berisiko.

“Anggota RELA yang terlibat tidak diletakkan dalam keadaan yang berisiko, tidak diletakkan dalam apa-apa operasi strategik, teknikal di barisan hadapan.

“Mereka hanya di barisan belakang iaitu barisan kedua bagi memastikan kawasan di belakang hadapan adalah selamat, mereka tidak dihadapkan dengan bahaya, mereka diberikan latihan yang secukupnya relevan dengan tugas yang dilakukan, mereka akan lakukan aktiviti penguatkuasaan bersama pihak polis supaya tindakan bersama membawa hasil yang lebih baik memastikan keamanan di ESSZone,” ujarnya lagi.

Menerusi video yang tular di laman sosial, Shafie ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Sabah, dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZone.

Beliau dilaporkan berkata bahawa anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis-majlis kenduri sahaja.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 January 2018 4:47 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: