Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Shafie kembali terajui jentera BN PRU14 Wangsa Maju

27 APRIL: Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah kembali beraksi menerajui jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Parlimen Wangsa Maju bagi membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yew Teong Look.

Pengumuman dibuat Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu ketika melancarkan Bilik Gerakan Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia Cawangan Wangsa Maju di Kuala Lumpur, yang menjadi kemunculan pertama beliau selepas dua minggu berehat daripada berkempen.

Ia sekali gus menamatkan isu surat yang diviralkan memaklumkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dilantik mengetuai jentera PRU14 Parlimen Wangsa Maju.

Mohd Shafie berkata, beliau sudah menerima surat menyatakan penyerahan kembali jentera PRU14 Parlimen Wangsa Maju untuk diterajuinya sepanjang pilihan raya kali ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menghubungi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk meminta beliau menyerahkan kembali jentera ini kepada saya.

“Selepas berehat dua minggu, ini adalah program pertama yang saya keluar untuk membantu BN.

“Walaupun saya tidak menjadi calon, saya mahu penduduk tahu saya akan terus berkhidmat kepada rakyat di sini.

“Perdana Menteri ada meminta saya menggerakkan kembali jentera PRU14 di sini supaya mereka tidak berkecil hati,” katanya dalam sidang media malam ini.

Mengulas jangkaan pertembungan tiga penjuru di Wangsa Maju, beliau berkata, berdasarkan senario semasa di Wangsa Maju, BN diakui bakal berdepan saingan sengit antara calon bertanding.

Bagaimanapun, katanya, BN memiliki peluang besar untuk memenanginya, justeru usaha paling penting perlu dilakukan jentera kini adalah menggiatkan program bertemu rakyat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 April 2018 11:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: