Kategori Berita Utama

Shahrir bersedia bertanding Parlimen Johor Bahru

4 APRIL: Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan bersedia bertanding mempertahan kerusi Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, walaupun sebelum ini sudah menyatakan hasrat tidak akan bertanding, perubahan itu adalah atas permintaan beberapa pihak termasuk Perdana Menteri supaya beliau meneruskan perjuangan bagi memenangkan Barisan Nasional.

“Saya bercadang selepas tempoh ini (bubar parlimen) saya ingin menulis buku, tetapi dengan keadaan dan diminta untuk bertanding, jadi sekali lagi saya akan bersama rakan-rakan untuk mempertahankan BN.

“Saya kena ‘adjust’, kepada kehendak parti dan rakan-rakan, jadi saya mungkin akan buat ‘adjusment’ kembali lepas PRU nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Buku ‘Malaysia Tanpa BN’ tulisan Datuk Ahmad Faris Abdul Halim dan Nasrudin Mohamed di bangunan Parlimen, Rabu.

Tan Sri Shahril Abdul Samad merasmikan Pelancaran Buku ‘Malaysia Tanpa BN?’ yang ditulis oleh Datuk Ahmad Faris Abdul Halim dan Nasrudin Mohammed di Parlimen.

Shahrir menyandang kerusi Parlimen Johor Bahru atas tiket BN selama tujuh penggal sejak 1978 dan atas tiket Bebas pada 1988 dan kembali mewakili UMNO pada 2004 hingga sekarang.

Keputusannya bertanding Bebas dibuat setelah mengambil kira kepimpinan waktu itu yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad menghancurkan institusi kehakiman.

Tindakan itu memberi kesan memihak kepada Shahrir apabila menang dalam Pilihan Raya Kecil itu dengan majoriti lebih besar.

Mengulas lebih lanjut, Shahrir yang juga Pengerusi BNBBC berkata, keputusan enggan bertanding itu kerana ingin memberi ruang kepada orang muda bergiat dalam politik.

Bagaimanapun katanya Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dalam pertemuan tertutup dengan perwakilan UMNO Bahagian Johor Bharu telah meminta beliau bertanding sekali lagi di parlimen tersebut.

Ditanya ura-ura Penasihat DAP, Lim Kit Siang ingin bertanding di parlimen yang sama, Shahrir berkata ia suatu perkara yang baik untuk rakyat di negeri Johor dalam membuat penilaian.

“Ia satu perkara yang bagus untuk rakyat Johor, mereka boleh menilai, calon yang diletakkan oleh BN, dengan calon yang diletakkan oleh DAP. Walaupun Johor Bahru itu merupakan kerusi PKR, tapi kalau DAP kata mereka nak kerusi itu, mereka tetap nak, kalau mereka kata nak ambil mana-mana kerusi pun, DAP akan tetap ambil,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama beliau menempelak pembangkang kerana masih ‘misteri’ mengenai kerusi akan ditandingi pemimpin utama mereka sedangkan dipihak BN sudah jelas pemimpin utama parti komponen akan kekal bertanding di kawasan masing-masing.

“Di Pekan kita ada Datuk Seri Najib, Datuk Seri Zahid (Hamidi) di Bagan Datuk, Datuk Seri Mah (Siew Keong) di Teluk Intan, Datuk S. Subramaniam di Segamat, Shahrir di Johor Bahru, PH? Di mana Tun Mahathir nak bertanding? Dimana Lim Kit Siang nak bertanding? Wan Azizah di mana?

“Waktu PRU13, ada Pakatan Rakyat, kemudian PRU14, PH pula menjelma, PAS dengan Gagasan Sejahtera, BN pula sudah stabil sejak dulu lagi. Jadi rakyat boleh menilai.

“Mana ada negara lain mempunyai politik seperti ini yang menyaksikan ‘pembunuh upahan’ dihantar ke kerusi tertentu dengan matlamat mengalahkan calon sasaran.

“Ia berbeza dengan pemimpin BN yang taat mempertahankan kawasan demi mendapatkan mandat dan meneruskan kelangsungan pembangunan di kerusi mereka,” katanya.

Shahrir juga yakin BN akan menang dan dapat meneruskan pentadbiran yang baik kepada negara dan rakyat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 April 2018 5:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: