Kategori Berita Utama

Shahrir yakin siasatan polis dedah pihak ‘rampas’ tanah FELDA

27 DIS: Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abd Samad yakin siasatan polis akan mendedahkan pihak yang terbabit dengan transaksi meragukan berhubung pindah milik tanah agensi itu di Jalan Semarak, di ibu kota.

Katanya, polis juga sudah mengambil keterangan pegawai FELDA selepas laporan mengenai perkara itu dibuat awal Disember lalu.

“Saya berterima kasih kepada polis dan pihak Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan kerana tindakan masing-masing dalam isu tersebut,”.

“Kita (FELDA) memohon untuk mendapatkan kaveat berdaftar kepada tanah milik FELDA di tapak pejabat lama di Jalan Semarak,” katanya.

Menurut Shahrir, polis telah pun mendapatkan kaveat berdaftar terhadap tanah tersebut berikutan laporan polis yang dibuat oleh FELDA pada 12 Disember.

Pagi tadi, Shahrir berjumpa Timbalan Pengarah Tanah Ahmad Fuad Mustaffa di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan gambaran terkini berhubung isu tersebut.

Pada pertemuan itu, Ahmad Fuad turut menjelaskan pihaknya sudah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan selain mengesahkan tanah itu sudah memperolehi kaveat berdaftar semalam.

Menurut Shahrir, matlamat FELDA adalah mendapatkan semula tanah tersebut dalam apa cara sekali pun.

Beliau menyifatkan tanah itu bukan ditukar milik sebaliknya dirampas oleh syarikat yang dilantik FELDA Investment Coprporation Sdn Bhd (FIC) bagi membangunan tanah tersebut.

FIC sebelum ini melantik syarikat tempatan Synergy Promenade Sdn Bhd sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi tujuan pembangunan.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan lima individu terdiri daripada pegawai FELDA, Pejabat Tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kes terbabit.

Katanya, polis akan memanggil bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung isu itu minggu depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan serta pemalsuan dokumen.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 December 2017 4:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: