Kategori Berita Utama

Shahrizat optimis calon wanita pada PRU14 melebihi jangkaan

25 MAC: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, memberi bayangan lebih ramai calon wanita akan ditampilkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, rumusan berkenaan diperoleh selepas beliau menemui semua pengerusi badan perhubungan BN setiap negeri.

Beliau berkata, lebih ramai calon wanita ditampilkan parti sudah pasti memberi dorongan kuat kepada jentera wanita untuk berjuang habis-habisan pada PRU14 nanti.

Katanya, selepas membuat pertemuan empat mata dengan pengerusi perhubungan BN negeri, ada sinar gemilang buat wanita kali ini.

“Kali ini kita bertuah kerana tidak perlu terlalu meminta-minta, usaha keras wanita bukan saja diakui dan dipandang tinggi mereka (pengerusi perhubungan BN negeri), malah diiktiraf dengan bakal dikemukakan sebagai calon pada PRU14 nanti.

“Wanita bekerja kuat dan penuh dedikasi, kesetiaan kita pada parti tidak boleh disangkal, namun jika wanita tiada di sisi parti, diletak di belakang atau kata mudahnya, tidak dikemukakan sebagai calon, akan hancurlah perjuangan kita.

“Saya lega kerja keras wanita BN dan UMNO berbaloi. Jika pelaksanaannya begitu, saya percaya kemuafakatan sebegini akan membawa kemenangan pada parti,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Muafakat Jentera Wanita BN Johor dan Pelancaran Kad Laporan Pencapaian Johor 2013-2018 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Perhubungan BN Johor dan Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Ditanya sama ada calon wanita BN pada PRU-14 akan mencapai sasaran kuota 30 peratus seperti diperjuangkannya, Shahrizat optimis ia bukan saja mencapai sasaran, malah akan melebihi jangkaan.

“Insya-Allah, saya cukup yakin sasaran kita bakal dipenuhi kali ini kerana komitmen tinggi kerja wanita bukan saja dalam kalangan 1.4 juta ahli wanita UMNO, malah komponen wanita BN.

“Ia juga selari dengan fokus saya yang konsisten iaitu mesti ada calon wanita pada PRU kerana kita bukan minta ihsan tetapi wanita amat layak sebab gigih, setia dan menjadi tulang belakang parti, ” katanya.

Tambahnya, beliau juga akan memfokuskan pada gerak kerja termasuk memastikan semua ketua wanita BN dan UMNO melaksanakan amanah dengan baik, selain mempertingkatkan pendekatan berjumpa pengundi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 March 2018 2:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: