Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Siasat semua terbabit video klip – Shamsul Anuar

4 FEB: Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, berikutan penerbitan video Tahun Baharu Cina minggu lalu yang dipercayai membabitkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata Teresa kini disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina pemimpin negara.

“Kami sedang menjalankan siasatan terhadap perkara itu,” kata Mohmad kepada pemberita selepas seminar pencegahan jenayah Kampus Kor Suksis Universiti Malaya, di Petaling Jaya, Selasa.

Shamsul Anuar Nasarah

Sementara itu Ahli Parlimen Lenggong,  Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut menggesa pihak berkuasa bertindak tegas berdasarkan undang undang yang ada bukan hanya ke atas Teresa tetapi juga terhadap semua yang terbabit pembikinan klip  video berkenaan.

“Jika tidak saya bimbang semakin berani pihak pihak tertentu mempermainkan isu isu yang boleh menganggu gugat keharmonian rakyat dalam negara ini.

“Lebih membahayakan ianya dilakukan oleh individu yang mempunyai pengaruh dan pengikutnya sendiri. Sudah tentu tindakan dan perlakukannya akan disokong serta diikuti oleh penyokongnya,” tegas Shamsul dalam satu kenyataan kepada bnbbc.my pada Selasa.

Shamsul juga menyifatkan Taresa seorang pemimpin yang ‘cakap tidak serupa bikin‘ atau umpama ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul‘ yang hanya pandai bercakap tetapi perbuatannya tidak selaras dengan apa yang beliau ucap.

“Beliau juga contoh pemimpin yang menyalahgunakan kebebasan yang diberi serta sengaja menimbulkan isu sensasi dan perkauman demi kepentingan politik DAP,” katanya.

Shamsul kesal ketika ramai pihak yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina dengan aktiviti yang boleh merapatkan hubungan antara kaum, tetapi beliau memilih sambutan CNY untuk menimbulkan kemarahan dan permusuhan antara kaum.

“Alasan beliau bahawa video yang dimuat naik dalam Youtube hanya sebagai bahan gurauan saya tidak boleh terima, dan saya yakin begitu juga orang lain,” tegas Shamsul.

Shamsul juga mempersoalkan kaedah yang digunakan Teresa jika tujuan beliau mahu membuat teguran kerana sebagai Ahli Parlimen beliau mempunyai saluran yang betul untuk berbuat demikian.

“Sebaliknya di Dewan Rakyat beliau tidak banyak bercakap soal soal sebegini tetapi hanya isu  remeh temeh.

“Saya fikir kalau Taresa tinggal atau pemimpin di beberapa buah negara yang saya tidak mahu sebut di sini sudah lama beliau disumbat ke penjara.

“Sebab itu, hargailah kekebasan yang kerajaan telah berikan dan tunjuklah contoh yang baik kepada rakyat,” nasihat Shamsul kepada Teresa.

Dalam pada itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menamakan diri anggota gabungan NGO pro-Barisan Nasional memberi tempoh 14 hari kepada Teresa untuk membuktikan lanun benar-benar wujud di Sabah.

Presidennya Zulkarnain Mahdar berkata, jika Teresa gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, pihaknya sebagai warga Sabah akan memfailkan saman malu.

“Memang niat dia untuk memalukan orang Sabah, untuk menjejaskan imej Sabah kepada orang di luar Sabah.

“Memang jelas dia beritahu di sini (dalam klip video), anda boleh melancong ke Sabah dan berpeluang melihat lanun dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Anak-Anak Sabah di Selangor.

Beliau sudahpun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berhubung klip video ‘Onederful Malaysia CNY 2014‘ Teresa yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 February 2014 6:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: