Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Siasatan dalaman FGV bermula 24 Julai ini

17 JULAI: Felda Global Venture Holdings Bhd. (FGV) mengumumkan penubuhan panel dalaman yang terdiri daripada tiga orang untuk menyiasat empat orang bekas ahli lembaga pengarahnya mulai 24 Julai ini.

Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, empat orang yang disiasat tersebut ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha serta dua lagi pegawai pengurusan kanan.

“Kami melakukan proses yang adil untuk memastikan mereka diberi peluang mempertahankan diri, mengemukakan bukti dan mempunyai masa secukupnya untuk memberi respons kepada siasatan dalaman itu.

“Kami menyasarkan siasatan akan dapat diselesaikan menjelang 14 Ogos 2017,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan penemuan bukti baharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan sebelum ini.

“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan kes tersebut,” katanya.

Menurutnya, SPRM melakukan serbuan di pejabat Felda Investment Corporation (FIC) hari ini berikutan penemuan bukti baharu berkaitan pembelian hotel di London oleh FIC.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mengetahui apa bukti baharu tersebut tetapi yakin Felda dan FIC akan terus bekerjasama dengan SPRM.

Share This:




Berita Bertarikh pada 17 July 2017 9:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]