Kategori Berita Utama

Sikap membisu Pengarah Hutan Negeri Selangor jadi tanda tanya

24 MEI: Sikap terus membisu Pengarah Jabatan Hutan Negeri Selangor berkaitan pendedahan bersiri pembinaan projek Paya Indah Wetlands hingga mengancam alam sekitar telah menjadi tanda tanya sehingga menimbulkan syak wasangka kepada rakyat Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos mengesyaki wujudnya arahan daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Pengarah tersebut untuk ‘menutup mata’ berhubung pembinaan projek itu.

Jamal juga yakin ‘arahan’ sedemikan wujud memandangkan masih tiada tindakan oleh Jabatan Hutan Negeri terhadap projek itu walaupun setelah beberapa kali pendedahan mengenai kesan pembinaan projek tersebut dilakukan oleh beliau.

“Jadi kalau kita lihat apa yang berlaku di kawasan ini, tanah kerajaan milik Jabatan Perhutanan dicuri, diambil secara besar-besaran tanpa ada tindakan seolah-olah mereka ini diarahkan oleh sesuatu kuasa untuk tutup mata.

“Bagaimana kerajaan negeri tidak mengetahui tentang perkara ini sedangkan sudah hampir setahun kerja mencuri tanah daripada tanah Jabatan Hutan Negeri Selangor ini.

“Di mana Pengarah Jabatan Hutan Negeri Selangor ini, adakah mereka ini menerima arahan daripada Menteri Besar supaya tidak mengambil tindakan terhadap kontraktor-kontraktor yang mencuri tanah kerajaan ini tanpa kebenaran,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.

Pada masa yang sama, Jamal turut mempersoalkan tindakan Azmin yang masih mengunci mulut sama ada PKR menerima sumbangan RM3 bilion hasil daripada kelulusan projek di kawasan tersebut.

“Jadi, persoalan yang saya nyatakan sebelum ini benarkah kerajaan negeri memberikan kelulusan kepada sebuah syarikat untuk menjadikan kawasan Paya Indah Wetlands ini sebagai satu kawasan bandar baru kerana inginkan sumbangan politik untuk menghadapi PRU yang akan datang masih lagi belum terjawab,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jamal pernah mendesak Timbalan Presiden PKR itu menjelaskan desas-desus kononnya PKR mendapat sebahagian habuan daripada keseluruhan RM30 bilion untuk tujuan persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Isu pembinaan projek bandar baru di kawasan Paya Indah Wetlands menarik perhatian ramai selepas dibongkarkan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham atau Chegubard sebelum ini mendedahkan Azmin meluluskan permohonan menukar status tanah di lot 68054, daripada zon pertanian kepada zon pembangunan.

Lot 68054 sudah ditolak oleh empat menteri besar sebelum ini, termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi tidak di era pentadbiran Azmin.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 May 2017 9:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: