Kategori Berita Antarabangsa

Singapura tawar RM10,000 untuk lupus motosikal antik

6 APRIL: Pemilik motosikal usang di Singapura ditawarkan pampasan sebanyak S$3,500 (RM10,280) jika mereka secara sukarela, sanggup membatalkan pendaftaran kenderaan dalam masa lima tahun akan datang.

Inisiatif terbaharu oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) negara itu didedahkan hari ini sebagai langkah untuk mengurangkan pencemaran udara yang sebahagian besarnya disebabkan oleh motosikal jenis lama.

Laporan Agensi menyebut pemilik menerima S$3,500 jika tidak perbaharui sijil pemilikan (COE) untuk motosikalnya selepas 7 April dan membatalkan pendaftaran motosikalnya sebelum 5 April 2023.

Atau jika pemilik itu memperbaharui COE motosikalnya pada atau selepas 7 April ini dan membatalkan pendaftaran kenderaan sebelum 5 April 2023, mereka hanya layak menerima S$2,000 (RM5,875).

Bagaimanapun mereka juga bakal menerima rebat bagi baki tempoh COE yang tidak habis digunakan.

Hanya motosikal yang berdaftar sebelum 1 Julai 2003 dan mempunyai 10 tahun tempoh COE layak bagi insentif ini.

Namun bagi mereka yang bertegas mahu memilih untuk terus menyambung penggunaan motosikal lama, pihak NEA akan mengetatkan tahap piawaian pengeluaran bahan pencemaran udara bermula 6 April 2023.

Motosikal usang atau antik dibenarkan sehingga 30 Jun 2028 jika mereka berjaya memenuhi standard lebih ketat.

Berikutan itu, sebanyak 27,000 buah motosikal  berdaftar di negara itu dijangka terbabit.

Menurut NEA, meskipun motosikal secara keseluruhannya membentuk 15 peratus daripada jumlah kenderaan di jalan raya di Singapura, namun ia menyumbang lebih separuh daripada pelepasan gas karbon monoksida yang beracun di republik itu.

Malahan, motosikal daripada model lama yang membentuk cuma 20 peratus daripada jumlah keseluruhan menyumbang lebih 40 peratus pelepasan gas berkenaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 April 2018 5:06 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: