Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Skim Insurans Pekerjaan talian hayat sementara pekerja swasta

25 OKT: Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang dijangka dilaksanakan pada 2018 bakal menjadi talian hayat sementara kepada pekerja swasta yang kehilangan pekerjaan apabila diberikan bantuan kewangan sehingga enam bulan sebelum mendapat kerja baharu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, pekerja swasta yang kehilangan pekerjaan boleh membuat tuntutan dalam tempoh 60 hari kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dari tarikh kehilangan pekerjaan seperti yang tertakluk dalam Akta SIP 2017.

“Pada bulan pertama, mereka yang berkenaan akan menerima bayaran 80 peratus daripada gaji terakhir sebelum kehilangan kerja.

“Manakala 50 peratus untuk bulan kedua, 40 peratus untuk bulan ketiga dan keempat dan 30 peratus untuk baki dua bulan seterusnya,” katanya ketika sesi pergulungan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (SIP), di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Bagaimanapun menurut Richard, RUU tersebut menjelaskan SIP hanya diberikan kepada golongan pekerja berstatus tetap dan tidak kepada pekerja kontrak atau sambilan dan mestilah melepasi tempoh matang mencarum iaitu selama 12 bulan pertama.

“SIP ini tidak diperuntukkan kepada mereka yang berhenti secara sukarela,” katanya.

RUU ini juga memperuntukkan kadar caruman berkadara. 0.4 peratus darioada gaji yang diinsuranskan, iaitu 0.2 peratus daripada majikan dan 0.2 peratus daripada pekerja.

Caruman hendaklah dibayar bagi setiap pekerja yang didaftarkan atau disifatkan telah didaftarkan pada setiap bulan berdasarkan gaji yang kena dibayar kepada pekerja bagi bulan itu mengikut tempoh dan kaedah yang ditentukan oleh PERKESO.

Caruman terhenti apabila seseorang pekerja mencapai umur persaraan minimum.

Selain itu, SIP juga menyediakan bantuan kewangan segera kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dan menyediakan bantuan carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya, latihan dan lain-lain bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dapat memperolehi pekerjaan baharu secepat mungkin.

Golongan yang dikecualikan daripada perlaksanaan SIP termasuklah penjawat awam, pekhidmat domestik dan yang bekerja sendiri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 October 2017 11:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: