Kategori Berita Utama

Sistem komunikasi dipertingkat elak dibolosi

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mencadangkan beberapa kaedah kepada kerajaan dalam mempertingkat sistem komunikasi supaya sebarang maklumat tidak mudah dibolosi pihak tidak bertanggungjawab.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antara kaedah yang boleh dipertimbangkan ialah memastikan setiap data atau maklumat berkaitan kerajaan perlu melalui beberapa peringkat saringan, sebelum ia boleh diakses.

“Bagi memastikan orang yang kita anggap sebagai sahabat tidak melakukan perkara tidak baik kepada negara, kementerian akan lihat bagaimana sistem komunikasi sedia ada boleh dipertingkat dari mudah dibolosi.

“Kita akan cari kaedah untuk nasihatkan kerajaan supaya memperbanyakkan sistem tapisan bagi elak maklumat diakses oleh mereka yang berkemungkinan adalah perisik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan My1Hub, Iskandar International Gateway (IIGW) dan Cahaya Malaysia di Kuala Lumpur.

shabery1Beliau diminta mengulas isu intipan oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia dan beberapa negara lain menggunakan kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara.

Najib juga dilaporkan berkata bahawa Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini berhubung dakwaan pengintipan dilakukan di negara ini.

Baru-baru ini, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden mendedahkan bahawa risikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kerajaan dan kementerian itu khususnya merasa cukup kecewa atas apa yang berlaku kerana baginya negara yang dianggap sahabat tidak sepatutnya melakukan kerja-kerja risikan ke atas negara yang mereka bersahabat.

Beliau berkata sebagai kementerian yang berperanan menyebarkan maklumat kepada rakyat, kementerian itu benar-benar inginkan penjelasan sama ada risikan yang dilakukan bertujuan untuk mengawasi kegiatan keganasan atau sebaliknya.

“Jadi kementerian nak tahu risikan itu sejauhmana untuk awasi anasir keganasan atau ada tujuan lain di sebaliknya,” katanya. 7/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 November 2013 3:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: