Kategori Berita Utama

Skim Peduli Sihat Selangor membazir?

21 DIS: Menuju ke penghujung tahun, ramai yang mengambil kesempatan menghabiskan saki baki cuti tahunan pergi melancong sama ada dalam negara atau makan angin ke luar negara.

Namun lain pula yang terjadi kepada rakyat Selangor, keterujaan mereka bukan kepada cuti tetapi lebih ghairah untuk menghabiskan saki baki peruntukan Skim Peduli Sihat.

Perbualan di laman media sosial berkenaan sesetengah rakyat Selangor memanipulasi skim berkenaan.

Malah ada yang sengaja memanfaatkan peluang yang ada dengan mendapatkan rawatan walaupun diri tidak mengidap sebarang penyakit.

Yang lebih melucukan ada juga yang pergi ke klinik panel Skim Peduli Sihat semata-mata untuk menghindar penyakit ‘buatan orang’ iaitu dengan mendapat pil pencegahan kehamilan atau perancang keluarga.

Perkara ini terbukti berdasarkan pada perbualan kumpulan komuniti setempat rakyat selangor di Facebook Penduduk kg delek apabila seorang wanita mengakui bahawa dia memanfaatkan Skim Peduli Sihat dengan mendapatkan pil perancang keluarga.

Wanita itu mendakwa dirinya berasa kerugian jika peruntukkan skim kesihatan itu dibiarkan tanpa digunakan.

Bukankah ini namanya satu bentuk pembaziran? Gamaknya inilah hasrat yang hendak dilihat oleh Kerajaan Selangor melaksanakan skim kesihatan yang mudah dimanipulasikan oleh rakyatnya sendiri.

Barangkali duit yang diperuntukkan pada Skim Peduli Sihat boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting dan amat diperlukan rakyat negeri tersebut seperti membina lebih banyak lagi rumah mampu milik untuk rakyat di Selangor, bantuan persekolahan anak dan sebagainya.

Bagi pemilik akaun yang dikenali sebagai Pen Chen, beliau berpendapat Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Selangor pada tahun ini tidak berapa relevan.

“Maksud saya jika dana tersebut yang nilainya berbilion setahun ditukar kepada bantuan minyak masak dan beras berjumlah RM500 setahun pun lebih baik. Ini yang tak sakit pun terpaksa ke klinik semata-mata nak bagi habis limit Rm500 tu hujung tahun ini,” katanya.

Manakala pemilik akaun facebook yang bernama Mohd Azman pula Skim Peduli Sihat itu tidak berbaloi kerana Kerajaan Persekutuan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di hospital-hospital malah diwujudkan lagi Klinik 1 Malaysia untuk kemudahan rakyat.

Katanya, rakyat boleh mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan 1 Malaysia dengan bayaran tidak membebankan dan ada yang percuma.

Sementara itu, mengulas perkara berkenaan, ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Shariff (foto) tidak menafikan skim Peduli Sihat mempunyai kebaikannya.

“Tujuannya murni untuk memberi pilihan kepada rakyat Selangor, tetapi berlaku ketirisan di mana boleh dimanipulasi oleh pesakit dan juga pihak klinik sendiri.

“Saya juga dimaklumkan bahawa mereka yang tiada masalah kesihatan pun pergi ke klinik panel untuk dapatkan ubat kerana sayang dengan peruntukan RM500 yang tidak dibelanjakan.

“Langkah bayaran yang dikenakan sekali rawatan RM50 juga boleh dipertikaikan kerana ia boleh diambil kesempatan oleh klinik seperti mengenakan kos rawatan dan ubat melebihi peruntukan yang diberikan.

“Inilah kelemahan skim tersebut dan menyebabkan berlaku pembaziran wang rakyat Selangor kepada perkara yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi BNBBC.my, Khamis.

Shahrum juga berharap perkara ini diambil serius oleh Menteri Besar dan mencadangkan satu kaedah yang lebih efisien dalam menanganinya.

“Tapi bagi saya Kerajaan Pusat telah menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk rakyat dan menjadi bertindih apabila kerajaan negeri memerkenalkan skim ini,” jelasnya.

Pada tahun ini, Kerajaan Selangor dilaporkan memperuntukkan RM125 juta dengan memperkenalkan Skim Peduli Sihat kepada rakyat.

Skim itu memperuntukkan jumlah tahunan RM500 kepada setiap rakyat Selangor dengan modus operandinya dikenakan RM50 setiap kali mendapatkan rawatan di klinik swasta yang dilantik.

Peruntukkan itu dijangka bertambah menjadi RM700 setahun pada tahun hadapan seperti mana yang dibentangkan pada Bajet Selangor 2018 lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 December 2017 3:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: