Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Skim Piramid: KPDNKK beku RM209 juta

20 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya menumpaskan sindiket skim piramid, MBI International, yang beroperasi di Pulau Pinang dan Kedah, semalam.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata kejayaan itu susulan hasil Ops Token 2 yang dijalankan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara.

Beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM688,000, tiga kenderaan mewah selain membekukan RM30 juta daripada akaun suspek serta 98 akaun lain membabitkan anggaran nilaian RM209 juta, dalam operasi yang dijalankan di tiga lokasi berbeza di Butterworth, Pulau Pinang dan Taman MBI di Kulim, Kedah.

“Kita juga berjaya menahan seorang lelaki berusia awal 50-an di Taman MBI, Kulim, Kedah, dipercayai pengasas kepada MBI Group dan mendapatkan perintah reman selama empat ke atasnya, berkuatkuasa semalam.

“Semua aset yang dirampas dan dibeku itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, KPDNKK berjaya menumpaskan sindiket skim piramid, Mface Club, yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam Ops Token yang dijalankan di enam lokasi berasingan, pada 29 Mei lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 June 2017 4:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: