Kategori Berita Utama

SKIN bantu tingkatkan keselamatan sempadan negara

18 JULAI: Kerajaan akan memperkenalkan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) dalam usaha meningkatkan keselamatan sempadan dan pintu kawalan masuk di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, SKIN dapat membantu Jabatan Imigresen mengatasi unsur sabotaj dan penipuan di pintu kawalan masuk ke dalam negara.

“Saya melihat SKIN merupakan satu platform komprehensif dan bersepadu untuk memodenkan teras-teras utama aplikasi dan infrastruktur di dalam sistem kawalan imigresen negara.

“Ini juga satu transformasi dilakukan Jabatan Imigresen menerusi sistem dan infrastruktur keselamatan yang lebih moden, canggih dan terkini dan berupaya mendepani cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi SKIN, di Cyberjaya, Selasa.

Turut hadir ialah timbalannya Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurut Zahid, KDN menerusi Jabatan Imigresen melihat SKIN sebagai usaha inovatif dalam usaha pembaharuan menyeluruh terhadap sistem teras dan aplikasi jabatan itu dalam membanteras jenayah dan keganasan di sempadan negara.

“Isu keselamatan global yang semakin mencabar sistem kawalan sempadan dan imigresen yang lebih berkesan dan cekap diperlukan untuk menangani cabaran terutama berkaitan aktiviti militan dan keganasan dan pemerdagangan manusia,” jelasnya.

Katanya lagi, perlaksanaan SKIN akan dapat membantu Malaysia mematuhi perjanjian Preventing and Combating Serious Crime dan Homeland Security Presidential Directivr No.6 yang merupakan pra syarat penyertaan negara dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

SKIN dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2021 yang membolehkan integrasi pada semua sistem agensi kerajaan di bawah KDN.

Tambah Zahid lagi, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan SKIN kerana pembangunan sistem ini tidak menambah perbelanjaan KDN yang sedia ada, sebaliknya akan mengurangkan kos.

“Kabinet telah meluluskan SKIN kerana antara kebaikannya ialah dapat mengitegrasikan sistem tanpa menambahkan perbelanjaan KDN,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 July 2017 6:05 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: