Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

SKMM sambut baik saranan kerajaan kaji semula akta

5 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 diperkukuh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie berkata, SKMM komited untuk memperhebatkan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

skmm-chairmanUntuk tujuan itu, SKMM telah mewujudkan sebuah pasukan penguatkuasaan berdedikasi bagi menangani kandungan di media sosial yang telah melanggar undang-undang ataupun yang berupaya mencetuskan kebimbangan dan kekacauan awam agar tindakan penguatkuasaan segera dapat diambil.

Tambah Dr. Halim langkah tersebut adalah perlu menyedari bahawa platform tersebut kini disalah guna oleh segelintir pihak untuk menyebarkan pembohongan dan menyemai kebencian yang memudaratkan ketenteraman awam.

“Sesetengah peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia perlu dipinda bagi memperkasakan peranan penguatkuasaan SKMM. Sebagai contoh, penalti untuk kesalahan-kesalahan perlu diteliti semula bagi memastikan AKM dilihat lebih berkesan sebagai satu langkah pencegahan,” katanya.

Jelas Dr. Halim, pindaan kepada AKM perlu mengambil kira keadaan persekitaran dalam talian yang sudah berubah sepanjang tempoh 17 tahun yang lalu memandangkan Akta berkenaan digubal pada 1998.

“Sebagai contoh, pada 1998, media sosial masih tidak wujud ketika itu. Untuk menangani aspek tersebut, perlu ada klasifikasi hukuman dalam AKM serta penerangan jelas berhubung tindakan penguatkuasaan yang diperlukan.

“Satu lagi trend untuk dipertimbangkan ialah para pengguna yang menggunakan maklumat tersebut kini juga adalah pihak yang menerbitkan kandungan,” jelasnya.

Dr. Halim turut menegaskan, kajian semula AKM bukan hanya berkisar kepada usaha memperkukuh keupayaan penguatkuasaan MCMC semata-mata.

Namun banyak lagi bahagian dalam AKM dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Akta MCMC) yang turut dikaji mengambil kira lanskap industri Komunikasi dan Multimedia yang sudah jauh berubah.

Beliau turut melahirkan harapan kajian semula ke atas AKM dan Akta SKMM akan mewujudkan suasana persekitaran yang sihat dan kondusif kepada pengguna untuk menggunakan Internet secara positif, selain menghalang pengguna menggunakan Internet untuk mencetuskan kebimbangan dan ketidakstabilan kepada negara.

Katanya menyekat akses kepada kandungan dalam Internet tidak semestinya jalan penyelesaian utama.

“Orang awam mesti sedar akan kepentingan menggunakan Internet secara bertanggungjawab dan positif.

“Kita harus mengelak situasi di mana majoriti pengguna yang menggunakan Internet secara bertanggungjawab menerima kesan hanya kerana perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna. Langkah terbaik ialah untuk sentiasa berpegang kepada kebenaran,” kata Dr. Halim lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 August 2015 3:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: