Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Skuad SAFE, perangi dera seksual kanak-kanak

4 NOV: Kehadiran lori kecil merah jambu di perkarangan Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Sekali imbas ramai menyangka lori itu ‘food truck’, sebaliknya ia adalah sebahagian gimik pelancaran kempen memerangi penderaan seksual terhadap kanak-kanak oleh Pergerakan Puteri UMNO.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan lori Stop Abuse for Everyone for a Safer and Fearless Environment (S.A.F.E) di luar lobi PWTC. Turut hadir Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Kempen Hentikan Keganasan Demi Keselamatan dan Persekitaran Selamat (SAFE) itu adalah anjuran Biro Perundangan Profesional Puteri UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) dan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam majlis pelancaran tersebut, Ahmad Zahid turut merasmikan pengangkutan rasmi Skuad SAFE yang akan digunakan untuk tujuan jelajah kesedaran yang akan dilaksanakan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk pameran seni, jualan bazar amal, demonstrasi pertahanan diri, persembahan buskers, sesi interaktif dan cabutan bertuah.

Pengerusi Biro Perundangan Profesional Puteri UMNO, Natassia Roslan, berkata kempen SAFE turut memberi peluang kepada orang ramai terbabit secara interaktif dan mendapatkan maklumat menangani situasi berkenaan.

“Penderaan seksual dilihat satu ancaman yang semakin membimbangkan dalam masyarakat hari ini.

“Kanak-kanak secara tidak disedari cukup mudah terdedah kepada penderaan seksual menerusi media sosial. Jadi kempen ini diharapkan mampu menjadikan masyarakat supaya bersikap pro aktif menanganinya,” katanya hari ini.

Natassia berkata, kempen itu menyasarkan penyertaan 300 peserta termasuk belia, pelajar dan ibu bapa muda.

“Lori merah jambu ini akan menjadi pengangkutan rasmi skuad SAFE untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memberi kesedaran terhadap kempen.

“Kami menawarkan khidmat lori ini untuk orang ramai mengadakan kempen yang sama di tempat awam termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi, ” katanya.

Program dijalankan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk PS The Children, Monsters Among Us, SheFights dan Art Market.

Turut diadakan adalah demonstrasi membela diri dari serangan oleh pelakon Norman Hakim.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 December 2017 6:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: