Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Soi Lek umum tak pertahan jawatan Presiden

4 DIS: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Rabu mengumumkan beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti 21 Disember ini.

chuamca

Chua tidak pertahankan jawatan Presiden MCA

Katanya, keputusan itu dibuat sebagai menerima tanggungjawab atas kekalahan teruk MCA dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selain memberi laluan kepada generasi baharu untuk menerajui parti.

“Sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-13, saya pernah menyatakan perkara yang sama…sekarang sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan bertanding jawatan presiden.

“Namun, saya masih merupakan anggota parti seumur hidup dan akan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mana-mana pemimpin baharu yang dipilih kemudian jika diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan para penyokongnya di Wisma MCA, di Ampang hari ini.

Dr Chua mengakui mengalami desakan terutamanya menjelang pemilihan parti apabila ada dalam kalangan anggota yang mahu beliau bertanding lagi bagi jawatan tertinggi itu.

“Ramai penyokong saya mencadangkan supaya bertanding jawatan presiden kerana mereka melihat saya lebih ‘winnable’ daripada tiga calon lain.

“Namun saya perlu mematuhi janji bahawa kekalahan teruk parti memerlukan saya untuk tidak lagi campur tangan dalam kepimpinan parti pada masa depan,” katanya.

Beliau meminta anggota MCA supaya menilai calon yang akan bertanding dalam pelbagai jawatan tinggi pada pemilihan parti kali ini berdasarkan potensi mereka dan bukan berdasarkan puak yang diwakili mereka.

Ditanya mengenai hasrat anaknya yang juga Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong bertanding dalam pemilihan kali ini, Chua berkata: “Biarlah dia membuat keputusan sendiri sama ada mahu bertanding jawatan mana.

“Beliau (Tee Yong) ada meminta pandangan saya mengenai perkara ini dan saya mencadangkan supaya mengumpul (mendapatkan) cadangan daripada anggota-anggota parti terlebih dahulu sebelum mengumumkannya,” katanya.

Sehingga kini, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden Gan Ping Sieu dan bekas presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat telah mengumumkan hasrat mereka merebut jawatan tertinggi parti itu.

Naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Pemilihan kepimpinan tertinggi MCA ditetapkan pada 21 Dis dengan pencalonan diadakan pada 16 Dis manakala pemilihan sayap Pemuda dan Wanita masing-masing pada 19 dan 20 Dis.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 December 2013 8:39 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: