Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

SPM 2013: Jumlah calon cemerlang terus meningkat

20 MAC: Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diduduki iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus berbanding 13,720 calon pada 2012.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu pada Khamis berkata, seramai 405 calon SPM 2013 berjaya memperoleh gred A+ iaitu cemerlang tertinggi bagi semua mata pelajaran.

Keputusan-SPM-2013Menurut Datuk Dr Khair, terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat semua A daripada sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak 11,892 calon berbanding 11,648 calon tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu 100 calon berjaya mendapat 12A, 2,164 (11A), 5,557 (10A), 6,087 (9A) dan baki 62 calon lagi mendapat 8A, 7A dan 6A.

“Bagi calon bukan KPM yang memperoleh semua A adalah sebanyak 2,078 untuk semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,072 calon pada 2012,” katanya semasa mengumumkan analisis keputusan SPM 2013 hari ini.

Tambahnya jumlah keseluruhan calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah sebanyak 442,588 dan daripada jumlah itu 883 adalah calon berkeperluan khas sama ada buta, pekak dan mengalami kecacatan lain.

Secara keseluruhan, pencapaian calon dalam SPM 2013 amat membanggakan berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai GPN 4.93 mata berbanding 5.08 mata pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.15 mata. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik,”

Dr. Khair berkata berdasarkan GPN juga, calon bandar menunjukkan peningkatan 0.15 peratus mata iaitu daripada 4.83 mata pada 2012 kepada 4.68 mata tahun lepas, manakala calon luar bandar turut meningkat sebanyak 0.16 mata daripada 5.44 mata (2012) kepada 5.28 mata pada 2013.

Dr. Khair berkata daripada 470,395 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2013, sejumlah 378,490 (85.52%) calon layak mendapat sijil berbanding 402,859 (91.24%) calon pada 2012.

Ini kerana mulai 2013, calon diwajibkan lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah untuk mendapat sijil berbanding hanya wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi memastikan peperiksaan SPM terus mendapat pengiktirafan antarabangsa, Khair berkata Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat pakar pentaksiran dari luar negara dan jaringan profesional antarabangsa untuk SPM 2013.

Mereka adalah pakar dari Cambridge International Examinations (CIE) United Kingdom, New Zealand Qualifications Authority (NZQA) New Zealand dan London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) United Kingdom.

“Pakar pentaksiran terlibat amat berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen pentaksiran, pemeriksaan skrip jawapan calon dan penentuan standard yang telah dilaksanakan secara profesional dan berkredibiliti tinggi,” katanya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 March 2014 1:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: