Kategori Berita Utama

SPR menanti notis pembubaran 8 DUN

7 APRIL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih menunggu notis pembubaran daripada lapan Speaker DUN bagi membolehkan mesyuarat khas dilangsungkan dalam menentukan tarikh pengundian serta penamaan calon PRU14.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata kecuali Sarawak yang baharu mengadakan PRN pada 2016 hanya kerajaan Johor, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka sudah menyerahkan notis berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (depan) melawat bilik Simulasi Operasi Bilik Gerakan PRU14 dan Pusat media PRU14 di Putrajaya.

Pada masa sama, SPR sudah menerima salinan watikah perisytiharan pembubaran Parlimen Yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Muhammad V serta surat pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berkuat kuasa hari ini.

“Setelah menerima semua notis, barulah kita akan menetapkan tarikh untuk mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ dan Notis Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian awal, Hari Pengundian, daftar pemilih yang terpakai serta persiapan lain.

“Ia akan ditetapkan dalam mesyuarat khas, namun tarikh belum ditentukan lagi sehingga kita menerima semua pemakluman rasmi daripada semua Speaker DUN masing-masing,” katanya selepas menyaksikan raptai dan simulasi pilihanraya di Menara SPR, Putrajaya, Sabtu.

Simulasi terbabit bertujuan menguji sistem penerimaan dan penghantaran maklumat berkaitan proses Penamaan Calon dan Hari Mengundi.

Ia dijalankan serentak di seluruh negara melibatkan semua bilik gerakan di Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Mengulas lanjut, Hashim berkata persediaan SPR  menghadap PRU14 antaranya dari segi logistik, penyediaan premis dan pemilihan petugas kini berada pada tahap 100 peratus.

“Urusan pilihan raya akan dikendalikan lebih 250,000 petugas pilihanraya serta orang awam yang dilantik dan dijangka turut dibantu lebih 200,000 agen calon dan parti yang bertanding.

“Berdasarkan statistik terkini, jumlah pemilih 14,940,627 akan dikendalikan 259,391 petugas di 8,898 pusat mengundi dan di 28,995 saluran,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 April 2018 1:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: