Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

SPRM jumpa RM1 juta di rumah ACP

8 DIS: Wang tunai sebanyak RM1 juta berserta barangan kemas dipercayai hasil sogokan ditemui dalam kotak kasut dan peti besi di rumah seorang Asisten Komisioner polis (ACP).

Berikutan itu, pegawai kanan berusia 59 tahun itu yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak direman pagi tadi bersama isterinya dan seorang ahli perniagaan wanita.

Pegawai polis kanan yang direman selama 5 hari selepas wang tunai RM1 juta dipercayai hasil sogokan ditemui di rumahnya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dalam kenyataan  hari ini berkata, suspek itu ditahan di pejabat SPRM Perak jam 7.30 malam semalam bersama isterinya yang berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

Siasatan awal agensi itu turut mendapati ahli perniagaan berkenaan dipercayai mempunyai kepentingan dengan pegawai polis terbabit ketika bertugas sebagai Ketua Polis Daerah dan memberikan wang tunai untuk majlis perkahwinan anak suspek pada Februari lalu.

“Ahli perniagaan wanita terbabit memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis berkenaan dengan dua transaksi iaitu sebanyak RM20,000 dan RM 50,000.

“Susulan itu, pasukan penyiasat SPRM menjalankan operasi penggeledahan di rumah pegawai polis berkenaan dan menemui wang tunai hampir RM1 juta serta barangan kemas yang diletakkan dalam kotak kasut dan peti besi,” kata kenyataan itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan penahanan tiga individu terbabit.

Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 December 2017 7:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: