Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

SPRM lancar Sahabat Cilik, Maskot Komisioner DZ

27 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Sahabat Cilik SPRM secara serentak di 14 sekolah di seluruh negara untuk menyebar luas mesej anti rasuah dalam kalangan murid sekolah rendah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata Sahabat Cilik SPRM yang menyasarkan murid sekolah rendah itu diperkenalkan susulan pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) pada 1 Ogos tahun lepas, melibatkan masyarakat berusia 18 tahun ke atas.

“Sudah sampai masanya pendidikan mengenai rasuah diterapkan seawal mungkin, maka pihak SPRM terpanggil untuk memainkan peranan dan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan. Kita nak mendidik golongan murid untuk mengenali apa itu rasuah dan kesan serta akibat buruk rasuah itu.

“Kita akan dapat melahirkan generasi baharu Malaysia yang bukan setakat benci rasuah tetapi merasakan ada tanggungjawab untuk mengatakan tidak pada rasuah, sama ada sebagai penerima atau peminta,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sahabat Cilik SPRM di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang, Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata pelancaran Sahabat Cilik SPRM itu juga sejajar dengan agenda kerajaan dalam menjayakan Transformasi Nasional 50 (TN50).

Terdahulu, Dzulkifli turut melancarkan maskot SPRM ‘Komisioner DZ’ yang dihasilkan dengan kerjasama Studio Animonsta bagi menarik minat golongan murid sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut merancang untuk melancarkan kelab  bagi mendedahkan pelajar dengan aktiviti dan gerak kerja SPRM.

“Kami masih dalam perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk peringkat seterusnya, mungkin kita akan melancarkan pula namanya yang masih belum kita putuskan…program berbentuk seperti kelab ataupun kadet ini adalah bagi mendedahkan pelajar kepada aktiviti dan gerak kerja SPRM dari peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga dalam perancangan untuk memasukkan elemen pendidikan mengenai rasuah dalam sistem pendidikan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 February 2018 9:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: