Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

SPRM Perak diarah siasat dewan SMK Hutan Melintang

29 JAN: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki telah mengarahkan SPRM Perak untuk memulakan siasatan berhubung projek pembinaan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang didakwa kurang memuaskan.

“Saya telah mengarahkan Pengarah SPRM Perak untuk segera memulakan siasatan hari ini dengan mendapatkan dokumen-dokumen lengkap daripada pihak tertentu yang terlibat dalam projek ini.

“Biasanya kes-kes begini melibatkan dokumen, jadi kita perlu meneliti dokumen-dokumen tertentu dahulu. Dalam masa yang sama, kita melihat kepada sudut rasuah ataupun salah guna kuasa dan keputusannya mungkin dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang,” katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan dewan sekolah berkenaan, menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan projek itu yang didakwanya tidak menepati standard yang dikehendaki.

Pembinaan dewan berharga RM600,000 itu dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu berhubung siasatan terhadap pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata sebanyak 10 saksi baharu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kita masih lagi meneliti aspek-aspek teknikal berhubung perkara ini. Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan,” katanya.

Mengenai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kerajaan Selangor pula, beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri berkenaan masih belum melaksanakannya.

“IBR adalah secara sukarela dan kami tidak beri tempoh khusus kepada mana-mana pihak. Terpulang kepada mereka, jika mahu buat IBR, kami sedia untuk memberi kerjasama bagi menjayakannya,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 January 2018 4:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: