Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

SPRM perlu siasat dakwaan rasuah Bazar Ramadan Sg.Besar

12 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dua pemimpin PKR di Sabak Bernam berhubung dakwaan salah laku rasuah dalam penganjuran Bazar Ramadan di Sungai Besar pada tahun 2016.

Kedua-dua pemimpin tersebut ialah Ketua Cabang PKR Sungai Besar, Fauzi Ahmad dan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Abu Talib Ujang, kata Pengerusi Nadi Rakyat Selangor, Khairulnaem Abu Samah.

Beliau merujuk kepada pendedahan bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard menerusi laman blognya itu dan mahu dakwaan itu disiasat segera kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Saya meminta Chegubard sendiri untuk hadir ke SPRM kerana dalam kenyataan itu beliau mendakwa mempunyai banyak bukti lain berkaitan korupsi di Selangor.

“Saya percaya SPRM akan menjalankan tugas dengan baik,” katanya selepas membuat laporan dan menyerahkan artikel pendedahan salah laku rasuah di laman blog Chegubard itu kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan posting Chegubard di laman blognya bertarikh 5 Februari lalu telah mendedahkan kedua-dua pemimpin PKR itu terlibat secara langsung untuk meluluskan tender penganjuran bazar berkenaan dua tahun lalu.

Fauzi dan Abu Talib didakwa terlibat secara langsung untuk meluluskan tender berkenaan susulan dua pemimpin PKR itu menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai Ahli Majlis di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

“Saya turut sertakan sekali slip pemindahan wang dalam akaun bagi tujuan menyokong syarikat berkepentingan.

“Ia berdasarkan daripada apa yang disarankan oleh Fauzi untuk memperoleh projek ini dan bukti di mana jelas mereka menerima suapan,” jelasnya.

Khairulnaem juga yakin banyak salah laku rasuah di Selangor bakal terbongkar berdasarkan pendedahan Chegubard itu dan rakyat boleh menilai siapa dalang sebenar di sebalik kes korupsi berkenaan.

“Inilah punca tapak perniagaan disewa mahal kepada peniaga kerana penganjur terpaksa membayar rasuah bagi memperolehi hak daripada PBT. Ia menyebabkan peniaga terpaksa menjual barang mahal kepada pengguna.

“Punca barang mahal pula di Lembah Klang khususnya di Selangor jelas kerana korupsi yang dilakukan oleh PKR dan kerajaan pemerintah Selangor.

“Saya menyeru rakyat Selangor wajib menolak Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang penuh dengan korupsi,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 February 2018 9:51 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: